
LEBIH tiga dekad bergiat aktif dalam industri seni tanah air, pelakon dan penyanyi veteran Raja Ema, 56, atau nama lengkapnya Raja Ema Raja Ibrahim kekal menghiasi dunia hiburan tempatan.
Biarpun negara dibanjiri bakat-bakat baharu yang jauh lebih popular, lakonan epik dan nostalgia Raja Ema menerusi filem era 80an seperti Cikgu Romantik, Mawar Merah dan Sayang meninggalkan memori manis hingga ke hari ini.
Mula mencipta populariti sebagai penyanyi dengan single Jejaka Idaman pada 1985, Raja Ema merupakan artis pertama Malaysia yang mempunyai muzik video menerusi lagu Di Pertemuan Ini.
Biarpun baru berusia 16 tahun, hasil jualan album pertamanya itu mencatat jualan lebih 100,000 unit hinggakan dia mampu membeli sebuah kereta jenis Mazda ekoran kejayaan tersebut.
Sebagaimana Ella diberikan penghormatan untuk menyanyikan lagu tema buat atlet Sukan Komanwel 1998, Raja Ema juga menabur bakti buat negara apabila terlebih dahulu menyampaikan lagu Mentari Korea pada sukan Olimpik Seoul 1988 di Korea Selatan.
Merupakan salah satu lagu yang dipetik dari album ketiganya berjudul Titik Bermula, penyanyi kelahiran Pahang itu mencatat sejarah apabila muncul artis pertama dipilih sebagai duta kepada syarikat Edaran Otomobil Nasional (EON) pada tahun berkenaan.
Bagaikan fenomena, kariernya kian berkembang apabila ditawarkan membintangi filem pertamanya berjudul Sayang (1987) digandingkan bersama rockers popular negara, Amy Search.
Pembabitannya dalam dunia perfileman membuahkan hasil apabila memiliki lebih sembilan buah naskhah filem tempatan termasuk tujuh buah naskhah kolaborasi Malaysia-Indonesia.
Terbaharu, Raja Ema mencipta kejutan apabila diumum sebagai Aktres Pembantu Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-36 baru-baru ini.
Kejayaan itu merupakan trofi ABPBH kedua dimilikinya susulan gelaran Pelakon Pembantu Wanita Popular yang pernah dimenanginya pada 1988.
Membuktikan dirinya masih relevan, Raja Ema yang juga anak kepada pelakon dan pelawak veteran, Allahyarham Yusni Jaafar kini masih bergiat aktif dalam dunia lakonan biarpun dibanjiri ramai pelakon baharu.
Terbaharu, Raja Ema melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan menerusi produk acar buah dijalankan sejak Mei lalu dan mula mendapat tempahan dari serata negara.
Kerap mengadakan sesi jualan secara langsung di TikTok, pelantun lagu Angan Angan itu juga turut menawarkan servis 'paid review' menggunakan paltform media sosialnya sebagai salah satu sumber kewangan ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram