KEMERIAHAN Liga Super Malaysia kini dilihat kian suram dengan aksi dan topik perbincangan hangat dalam kalangan peminat tegar mahupun pemerhati bola sepak tanah air.
Biarpun sudah memasuki aksi ke-19, suasananya masih terasa sunyi tanpa sorakan penonton yang kebiasaannya memenuhi ruang duduk stadium mahupun di restoran 'mamak' menyaksikan siaran langsung.
Lebih menyedihkan, kehadiran penonton ke stadium juga makin berkurang seolah-olah sudah putus harapan untuk menyuarakan sokongan terhadap pasukan masing-masing.
BACA LAGI: [VIDEO] Sama macam lawan Pahang, aksi Kuching City-Kedah ditunda hari lain akibat hujan lebat
BACA LAGI: Menang piala, gaji 'on time' boleh jadi azam Selangor, Kedah pada 2025
Di manakah silapnya? Adakah liga tempatan kekurangan dari segi promosi atau sudah tidak relevan di mata peminat?
Perkongsian salah seorang penyokong tegar industri bola sepak tanah air sebulat suara dipersetujui ramai yang menyifatkan liga Malaysia sudah semakin dilupakan.
Penguasaan pasukan JDT dalam kancah Liga Super masih gagal menjadi daya tarikan penonton ke stadium.
"Liga ini sudah mati jiwa, sekali lagi kita dihidangkan dengan angka-angka yang tak mengejutkan kehadiran penonton ke stadium menyaksikan Liga Super.
"Perlawanan Penang-Selangor hanya 2,198 orang, Terengganu-JDT (2,046), Perak-KDN (1,106), Sri Pahang-KL City (956), Negeri Sembilan-Sabah (537).
"Kesemuanya hanya dalam lingkungan 6,000 lebih daripada lima perlawanan dan semua perlawanan ini berlangsung pada hujung minggu," kata Aidil Azlan di laman Facebook.
Tambahnya, biarpun Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan status selaku juara bertahan Liga Super, juga belum mampu merangsang adrenalin peminat untuk turun ke stadium.
"Juara datang bertandang pun tak dapat nak tarik minat fans home ke stadium," katanya.
Menyifatkan Liga Malaysia sebagai sekadar hiburan yang tidak berbaloi untuk diluangkan masa, keseronokan aksi sebelum dan selepas perlawanan bagaikan 'filem sampah' yang tiada penontonnya.
"Liga Malaysia sudah menjadi sebuah pawagam yang tidak menyajikan filem berkualiti.
"Filem-filemnya tidak lagi dibualkan setelah ditayangkan, tiada keseronokan untuk dibualkan sebelum ditayangkan mahupun selepas ditayangkan.
"Pawagam yang tidak direvolusikan, pengurus pawagam tidak kisah tiket terjual atau tidak bak kata pengkritik filem ini filem sampah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram