SUSPEK kes bunuh wanita yang disumbat dalam bagasi merah di Ngawi, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini didakwa turut menjual kereta mangsa.
Sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga putih bernombor pendaftaran AG 1078 PB kepunyaan mangsa dijual kepada seorang individu dengan harga 57 juta rupiah (RM15,500) di Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur.
Ketua Polis Jawa Timur, Arbaridi Jumhur berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjual kereta tersebut melalui media sosial.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat tekan brek, penunggang wanita merana kaki hancur digilis kereta api di Surabaya
"Kereta mangsa dijual tanpa dokumen lengkap kerana masih berstatus hutang.
"Hasil jualan tersebut, suspek kemudiannya membeli sebuah lagi kereta iaitu Toyota Vios berwarna hitam dengan nombor pendaftaran B 1506 IY pada harga 75 juta rupiah (RM20,279).
"Keduanya-dua kenderaan terbabit kini dalam tahanan polis untuk siasatan," ujarnya.
Sementara itu, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Avanza yang didakwa digunakan suspek untuk membawa bagasi berisi mayat mangsa ketika kejadian.
Anak saudara suspek turut ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan suspek dalam tragedi pembunuhan kejam tersebut.
"Orang yang memandu kereta itu adalah anak saudaranya, kita masih menyiasat motif pembabitannya dalam kes ini," tambahnya.
Terdahulu, mayat seorang wanita tanpa kepala ditemukan dalam sebuah bagasi merah di Desa Dadapan, Jawa Timur pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ngawi, Dwi Sumrahadi Rakhmanto mengesahkan kejadian terbabit dengan penemuan tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas pemeriksaan mendapati kepala dan kedua-dua kaki mangsa telah hilang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram