
TIRAI 2024 sudah berlabuh, selamat datang diucapkan kepada 2025!
Tahun baharu, sudah pasti setiap individu mempunyai azam tersendiri. Sudah pasti, azam yang tersemat adalah ingin menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
Begitu juga dengan kelab bola sepak di negara kita. Sudah pasti, jauh di sudut hati kelab-kelab yang bertanding mempunyai azam yang tersendiri memasuki tahun baharu.
BACA LAGI: Suhaimi Husin berehat panjang, anak jati Kuala Nerus patut taruhan utama jadi GK no.1
BACA LAGI: Gaji sangkut 9 bulan, pemain Kedah disaran cari kerja lain tampung keluarga
Selangor FC
Azam paling ketara buat kelab seperti Selangor FC sudah untuk memenangi kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya pada 2015.
2025 menandakan 10 tahun sejak kali terakhir mereka meraih kejuaraan terakhir iaitu Piala Malaysia. Pada masa sama, ia turut menandakan sudah 15 tahun sejak gelaran terakhir Liga Super dirangkul Gergasi Merah.
Selangor mesti membawa pulang piala pada musim ini. — Facebook/Selangor FC
Memasuki tahun baharu, sudah pasti Selangor ingin mendapatkan piala untuk menutup musim 2024/2025. Walaupun yang tinggal cumalah Piala Cabaran, tetapi itu adalah sasaran yang perlu dituju Selangor bagi membawa pulang piala.
Piala Cabaran mungkin tidak dikira sebagai kejuaraan utama atau major trophy. Namun, dengan skuad yang sudah dibelanjakan dengan nilai besar, eloklah pasukan Lembah Klang itu membawa pulang kejuaraan tersebut supaya ada hasil.
Kedah Darul Aman FC
Azam bagi kelab dari Utara itu sudah pasti untuk berada pada kedudukan kewangan yang lebih baik.
Jauh di sudut hati, sudah pasti kelab seperti Kedah Darul Aman FC untuk mempunyai kewangan yang baik dan tiada masalah tunggakan gaji melibatkan pemain dan staf.
Kedah mengalami masalah gaji sehingga masuk sembilan bulan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Derita sudah sembilan bulan tanpa bayaran gaji sudah pasti sukar untuk diharungi oleh para pemain. Oleh itu, 2025 sepatutnya menjadi tahun untuk Kedah bermula semula dan memastikan kewangan lebih baik.
Namun begitu, jalan itu sukar untuk diharungi, ia memerlukan banyak perkara untuk diselesaikan sebelum taraf kewangan Kedah benar-benar 'sihat'.
Terengganu FC
Satu kelab yang berharap akan mempunyai musim lebih baik adalah Terengganu FC.
Jika Selangor mengharapkan piala, Kedah mahu kewangan lebih baik, Terengganu pula mahu bebas daripada isu kecederaan yang membelenggu mereka sejak awal musim.
Dari awal musim, Terengganu sudah diuji dengan kehilangan beberapa nama besar seperti Ivan Mamut, Matthew Steenvoorden serta Akyhar Rashid yang menjadi mangsa samun beberapa hari sebelum Liga Super bermula.
Kini, mereka kehilangan penjaga gol utama, Suhaimi Husin dan itu menambah lagi pening di kepala pengurusan Terengganu. Sudah pasti, jika badi krisis kecederaan itu tidak berlaku, mereka akan tampil lebih garang berbanding sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram