MENJELANG musim baharu Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), dua pasukan teratas pada kempen yang lalu iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dilihat sedang rancak melakukan persiapan.
Skuad Gergasi Merah yang hanya menamatkan saingan liga dan Piala Malaysia Futsal sebagai naib juara sudah tentu mahu merebut kejuaraan tersebut daripada pasukan baharu itu.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila mereka sibuk membawa masuk nama-nama baharu dengan kesemua yang disambar kelihatan sesuai dengan taktikal ketua jurulatih, Edgar Baldasso.
BACA LAGI: Selangor belum puas, pantas sambar mesin pencetak gol Pahang Rangers menjelang tirai MPFL
BACA LAGI: Bukan lagi zaman ‘prime’, Liridon Krasniqi mungkin lebih sesuai beraksi bersama Pahang Rangers
Saiful Nizam merupakan antara pemain yang meninggalkan Pahang Rangers FC. — Facebook/Pahang Rangers FC
JDT yang kelihatan meyakinkan sepanjang musim juga tidak kurang hebatnya selepas mengumumkan kehadiran pemain senior Selangor FC, Syed Aizad Daniel yang menamatkan tempoh perkhidmatan selama enam tahun di Lembah Klang.
Namun, di sebalik kemeriahan persiapan kedua-dua pasukan itu, Pahang Rangers FC yang dahulunya diangkat sebagai gergasi futsal tanah air nampaknya agak berdiam diri memasuki musim baharu MPFL.
Meskipun sudah mengumumkan kehadiran Razin Rahim dari Shah Alam City, pasukan Pantai Timur itu kelihatan kurang rancak dalam memperkuatkan pasukan yang sudah menunjukkan kemerosotan berikutan pemergian beberapa tonggak utama.
Ini termasuk Saiful Nizam Md Ali dan Nazreen Saude yang berkelana ke Selangor FC serta Sufri Shamil yang ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas secara rasmi meninggalkan pasukan itu pada awal Disember lalu.
Sekiranya Pahang Rangers tidak membawa masuk wajah-wajah baharu menjelang musim 2025, sukar bagi mereka merebut semula kejuaraan meskipun beberapa tahun lalu terlalu sukar untuk ditundukkan.
De Souza akan beraksi semusim lagi buat Pahang Rangers selepas tiba pada 2024. — Facebook/Pahang Rangers FC
Bagaimanapun, di sebalik pemergian sebahagian besar tonggak pasukan, skuad bimbingan Luis Fonseca masih boleh tersenyum kerana masih memiliki sentuhan import kelahiran Brazil, Felipe de Souza.
Kelibatnya disedari penyokong di laman media sosial Pahang Rangers FC memaparkan pivot Pahang Rangers FC itu sudah melaporkan diri ke sesi latihan yang pasti memberi kelegaan buat peminat pasukan.
"Bagus, pivot yang baik sudah ada, cuma perlu dapatkan pemain yang beraksi di ala dan fixo yang lebih cergas. Mungkin seperti Murilo (Carlos), tetapi lebih muda," kata Auzaie Man.
"Kira bagus ini boleh kekalkan de Souza, dia memang padu. Dapatkan gandingan yang betul-betul menjadi bagi musim 2025 ini," kata Abda Harislisa.
Pemain berusia 33 tahun terbabit membawa pulang Anugerah Penjaring Terbanyak musim lalu selepas menjaringkan 24 gol yang menyaksikannya mengaut hadiah bernilai RM5,500 secara keseluruhan.
Dia sememangnya diburu beberapa pasukan lain sebelum permulaan kempen baharu kerana masing-masing amat terpukau dengan gerakan serta kualiti penyudah dimiliki pivot import itu.
Bagaimanapun, de Souza yang merupakan bekas import Liga Super tersebut memilih untuk kekal bersama Pahang Rangers FC buat semusim lagi dengan harapan dapat mengulangi pencapaiannya musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram