Selangor belum puas, pantas sambar mesin pencetak gol Pahang Rangers menjelang tirai MPFL


  • Podium
  • Isnin, 06 Jan 2025

Saiful Nizam merupakan antara pivot tempatan terbaik sejak menyertai Pahang Rangers pada 2019. — Instagram/Saiful Nizam

PERSIAPAN rapi sedang sibuk dilakukan Selangor FC menjelang musim baharu Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dalam misi menebus kekecewaan menamatkan kempen yang lalu di tangga kedua.

Setakat ini, kelab Lembah Klang itu sudah memulakan sesi latihan disertai rata-rata tonggak pasukan seperti Khairul Effendy Bahrin serta Syahir Iqbal Khan dengan kudrat masing-masing akan terus ditagih.

Namun, apalah makna persiapan pramusim tanpa kemasukan wajah-wajah baharu kerana beberapa kelemahan ketara pasukan musim lalu perlu diatasi sekiranya mereka memasang cita-cita menjuarai saingan MPFL.

BACA LAGI: Bintang futsal negara tinggalkan Selangor selepas 6 tahun, JDT disebut-sebut destinasi baharu

BACA LAGI: Bukan hanya habuan, kebajikan terjaga juga bakar semangat skuad futsal Selangor di SUKMA 2024

Berdasarkan perkongsian di laman media sosial, skuad kendalain Edgar Baldasso itu sudah diperkuatkan dengan kehadiran Haiqal Hasnor yang dinaikkan pangkat dari skuad muda selain mengalu-alukan kepulangan Nazreen Saude.

Perbelanjaan Selangor FC bagaimanapun masih belum terhenti apabila pada Jumaat lalu, mereka mengumumkan kemasukan pivot negara, Saiful Nizam yang berkhidmat buat Pahang Rangers FC musim lalu.

Dia yang juga boleh dikatakan sebagai penyerang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena futsal negara kerana sepanjang kariernya, dia pernah menjuarai MPFL sebanyak beberapa kali selain boleh diangkat sebagai antara tonggak skuad kebangsaan.

275217526_1049577388989782_1604635677473221820_n

Saiful Nizam menghabiskan tempoh enam tahun bersama Pahang Rangers FC. Instagram/Saiful Nizam

"Nizam merupakan anak jati Johor dan sering mewakili negara di pertandingan peringkat antarabangsa. Dia mewakili Pahang Rangers sejak MPFL dianjurkan, namun kini bersedia untuk menerima cabaran lain di tempat baharu.

"Dia memiliki persefahaman yang baik dengan Ayon (Khairul Effendy) dan hubungan rapat bersama MAC, jadi tiada masalah baginya menyesuaikan diri," tulis Selangor FC.

Kemasukan nama-nama baharu itu sememangnya diharapkan penyokong skuad Gergasi Merah untuk mengembalikan takhta MPFL meskipun tahu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga mengambil pendekatan sama menjelang musim 2025.

Selangor FC juga dilaporkan akan membawa masuk pemain import baharu dari Brazil dengan harapan masing-masing tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram