SELAIN bakat dan kemahiran, mempunyai fizikal yang baik menjadi salah satu kriteria penting untuk menjadi pemain futsal gred A sehingga boleh menembusi pasaran luar negara seperti liga Indonesia serta Thailand.
Pendapat itu bukan hanya dilontarkan oleh jurulatih berpengaruh tanah air, Qusmaini Noor Rusli, malah pemain import Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) iaitu Guntur Sulistyo juga senada dengan jurulatih Rafhely FC tersebut.
Guntur yang juga merupakan tonggak Pahang Rangers pada musim ini menyatakan bahawa terdapat perbezaan fizikal antara pemain Malaysia dengan tonggak di negara kelahirannya, Indonesia.
BACA LAGI: Fizikal berbeza, prestasi skuad kebangsaan antara faktor pemain futsal negara kurang laku
BACA LAGI: Main setakat liga domestik, ke mana hilangnya bakat pemain futsal semasa kebangsaan?
"Kalau nak cakap perbezaan antara pemain lokal Malaysia dan Indonesia adalah mungkin pemain Indonesia lebih keras. Tapi di sini macam agak slow speed. Aku rasa itu sahaja perbezaannya," katanya kepada Majoriti berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, tonggak futsal kebangsaan Indonesia itu juga tidak menafikan bahawa perbezaan persaingan liga juga menyaksikan pemain negaranya lebih ramai berkelana di kelab luar negara.
Tidak mengatakan MPFL sebagai liga yang kurang kompetitif namun tahap persaingan liga di Indonesia lebih tinggi memandangkan kebanyakan pemain bermain sepenuh masa jika dibandingkan Malaysia hanya menjadikan futsal sebagai karier kedua.
Sebelum menyertai Pahang Rangers pada September lepas, Guntur mewarnai saingan Divisyen 1 MPFL bersama Gombak TOT United. — Facebook/PahangRangers
"Liga (di Malaysia) okey dan kompetitif tetapi di (Indonesia) lebih kompetitif kerana di sini sebahagiannya adalah pemain sambilan sementara di Indonesia pula semuanya sepenuh masa.
"Tapi liga di sini semakin meningkat kerana banyak jurulatih dari luar negara dan pemain import yang membantu untuk mengangkat pasukan dan pemain seperti saya boleh belajar banyak perkara dari mereka," tambahnya.
Sebelum ini, Qusmaini menegaskan fizikal pemain sangat penting selepas melihat pasukan-pasukan yang bertanding di Piala Asia Futsal 2024 seperti Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Iran.
Menurutnya, pasukan dari negara Asia Tengah berhasil membuktikan fizikal adalah penting apabila menyaksikan Iran dinobatkan sebagai juara Piala Asia Futsal 2024 menewaskan Thailand dengan keputusan 4-1 di Bangkok, Thailand.
Iran membuktikan kejaguhan dengan muncul juara Piala Asia Futsal 2024 setelah berjaya menundukkan Thailand 4-1 pada April lepas. — Facebook/AFC
Uzbekistan dan Tajikistan juga membuktikan kualiti pemain mereka dengan masing-masing menghuni tempat ketiga serta keempat dalam kejohanan dwitahunan berkenaan.
Terdahulu, Majoriti melaporkan sudah dua tahun penyokong tanah air tidak mendengar berita pemain futsal kebangsaan mendapat tawaran beraksi dengan kelab berpangkalan di luar negara seperti Liga Thailand, Liga Thailand dan pelbagai lagi.
Muhammad Firdaus Zulkefli yang kini merupakan tonggak Selangor FC menjadi bakat pertama dari Malaysia beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand dengan menyarung jersi National Telecom FC bagi musim 2022.
Namun, siapa sangka Firdaus Zulkefli menjadi pemain tanah air terakhir berkesempatan untuk berkelana ke luar negara dan sejak musim lepas, tiada seorang tonggak tempatan berhasil memikat hati kelab-kelab negara jiran mahupun pasaran lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram