KELAB futsal tanah air yang bertanding di bawah kejohanan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) memainkan peranan besar dalam membantu para pemain negara khusunya mengembangkan bakat mereka.
Antara inisiatif yang boleh dilakukan oleh kelab domestik bagi menambah baik kualiti pemain negara ialah memberi mereka peluang untuk beraksi dengan pasukan luar negara secara pinjaman.
Istilah pinjaman mungkin lebih sering didengari dalam kalangan peminat bola sepak namun sistem tersebut juga sebenarnya boleh digunakan oleh penggiat futsal sebagai cara membantu prospek masing-masing.
BACA LAGI: Fizikal berbeza, prestasi skuad kebangsaan antara faktor pemain futsal negara kurang laku
BACA LAGI: Bukan saja coach lokal, import MPFL akui Malaysia belum cukup 'keras'
Cadangan meminjamkan pemain kepada kelab luar itu dilontarkan oleh jurulatih berpengalaman tanah air iaitu Qusmaini Noor Rusli, sambil meletakkan beberapa syarat perlu dibuat oleh pihak kelab.
"Mungkin dengan cara loan out pemain ke negara luar juga mungkin salah satu cara bantu membantu pemain domestik. Mungkin perjanjiannya itu tidak membebankan kelab yang mahu menerima pemain.
"Salah satu jalan yang boleh dilakukan ialah segala gaji dan pembiayaan ditangguh oleh kelab asal. Itu salah satu cara yang membolehkan kelab luar menerima pemain kita di awal. Setelah itu, pemain kita boleh tunjukkan prestasi yang sebenar," katanya kepada Majoriti.
Jurulatih kelab futsal Indonesia, Rafhely United tersebut juga berpendapat bahawa menambah baik beberapa aspek di pihak MPFL juga merupakan cara untuk membantu memperbaiki kualiti pemain domestik untuk bersaing dengan pemain luar negara.
Jurulatih berpengalaman tanah air, Qusmaini Noor Rusli. — Agensi
Menurut jurulatih yang pernah membimbing Gombak Tot United itu, perbezaan kalendar MPFL dengan kebanyakan liga di luar negara juga menghalang pemantau bakat untuk melihat pemain berkualiti tanah air.
"Liga kita dah semakin kompetitif. Cuma mungkin perlu ditambah baik lagi. Dari segi durasinya dan waktu rehatnya juga perlu diambil kira. Saya pasti ada jurulatih-jurulatih dari luar yang memantau pemain-pemain kita. Cuma mungkin kadang otu kalender tu berbeza.
"Mungkin masa kita tidak sama dengan negara-negara lain. Jadi mungkin benda itu perlu diselaraskan dan saya rasa peluang untuk pemain-pemain kita menampat tempat di kelab negara luar mungkin akan lebih cerah," tambahnya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan sudah dua tahun penyokong tanah air tidak mendengar berita pemain futsal kebangsaan mendapat tawaran beraksi dengan kelab berpangkalan di luar negara seperti Liga Thailand, Liga Thailand dan lain-lain.
Firdaus Zulkefli menjadi pemain pertama dari Malaysia beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand pada 2022. — Agensi
Muhammad Firdaus Zulkefli yang kini merupakan tonggak Selangor FC menjadi bakat pertama dari Malaysia beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand apabila menyarung jersi National Telecom FC bagi musim 2022.
Namun, siapa sangka Firdaus Zulkefli menjadi pemain tanah air terakhir berkesempatan untuk berkelana ke luar negara dan sejak musim lepas, tiada seorang tonggak tempatan berhasil memikat hati kelab-kelab negara jiran mahupun pasaran lain.
Bakat seperti Syahir Iqbal dan Awalluddin Mat Nawi sepatutnya perlu diperkenalkan lagi di peringkat antarabangsa dengan peluang memasarkan mereka ke negara jiran akan menggalakkan lagi perkembangan 'ubi muda' futsal pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram