NAMA bekas pemain tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi kembali mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila mendedahkan mahu kembali beraksi di atas padang.
Bekas pemain kebangsaan itu berkongsi berita gembira di laman Instagramnya pada Rabu, memberi petunjuk bahawa dia akan membuat kemunculan semula bersama pasukan baharu.
Liridon atau mesra dengan panggilan Mat Don itu mendedahkan bahawa isterinya mahu melihatnya kembali di atas padang.
BACA LAGI: Hilang 7 pemain tak mengapa, Kedah ada 3 'cara' boleh jinakkan Kijang Emas
BACA LAGI: Biarpun hilang khidmat 3 tonggak, pemain The Rhinos dipesan elak 'parking bus' bertemu JDT
Sejak meninggalkan skuad Peteh pada akhir musim 2023, pemain tengah berusia 33 tahun itu kerap dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Antara pasukan yang dikaitkan adalah Selangor FC dan pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Walau bagaimanapun, dengan memegang status 'free agent', Liridon bebas untuk memilih dan menyertai mana-mana pasukan Liga Super yang memerlukan kualiti bekas pemain tengah kebangsaan itu.
Walaupun ramai penyokong tempatan menyambut baik kepulangan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, terdapat juga segelintir yang berpendapat Liridon sudah kurang relevan untuk beraksi di atas padang.
Liridon Krasniqi sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC secara pinjaman sebelum meninggalkan skuad Peteh pada akhir musim 2023. — Facebook/TFC
Menurut mereka, Liridon lebih sesuai mencari peluang dalam sukan futsal, yang dianggap lebih sesuai dengan kemampuannya.
"Liridon patut cari peluang dekat futsal sebab lebih sesuai dengan umur, tak payahlah nak main bola sepak," kata Hakimi Azam.
"Bukan lagi zaman prime nak main Liga Malaysia, tapi Liridon main futsal nampak padu," kata Mohammad Haidil.
"Letak dia dekat skuad futsal pun sesuai juga kan? Pahang Rangers tak nak cuba ke?," kata Muhammad Nurhakimi.
Liridon sebelum ini menunjukkan kemampuannya beraksi dalam saingan futsal yang dinamakan sebagai Ballers League di Jerman.
Saingan tersebut menyaksikan 12 pasukan bertanding dengan Liridon beraksi untuk Gonrgy Allstars.
Bukan sekadar melengkapkan nama dalam senarai skuad, tetapi Liridon turut meninggalkan impak apabila membantu pasukannya meraih kemenangan 7-0 ke atas Protatos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram