PERNAH menggegar industri muzik Indonesia satu ketika dahulu, bekas vokalis kumpulan Nidji, Giring Ganesha, 41, kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan Indonesia.
Pelantikan itu diumumkan Presiden Prabowo Subianto semasa pengumuman senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Merah Putih di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia pada Ahad.
Pernah bertugas sebagai Ketua Umum Parti Solidariti Indonesia (PSI) dari 2019 hingga 2023, pelantun lagu Sang Mantan itu akan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan bersama Fadli Zon yang dilantik sebagai Menteri Kebudayaan.
BACA LAGI: Suami pelakon jelita Indonesia, Pevita Pearce rupanya anak usahawan tersohor Malaysia
Terdahulu, Prabowo Subianto, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia.
Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia.
"Demi ALLAH, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, memegang teguh Undang-Undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang dan peraturannya serta berbakti kepada nusa dan bangsa,” lafaz Prabowo ketika mengangkat sumpah pada Ahad.
Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.
Sementara itu, Gibran Rakabuming yang juga merupakan anak sulung Joko Widodo (Jokowi) menjadi naib presiden termuda dalam sejarah Indonesia apabila dilantik memegang jawatan itu pada usia 37 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram