SEBAGAI persiapan menjelang aksi persahabatan menentang New Zealand, skuad kebangsaan memilih untuk bertemu kelab berpangkalan di negara itu, Auckland FC dalam perlawanan tertutup.
Pertembungan yang berlangsung di Stadium Go Media, New Zealand pada Jumaat itu diadakan memandangkan mereka memiliki pemain berkualiti, seperti mana dinyatakan ketua jurulatih sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Bagaimanapun, aksi yang sepatutnya berpihak kepada pasukan negara tersebut tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan kerana hanya keputusan seri 1-1 dicatatkan.
BACA LAGI: DNA Barcelona 'berjangkit' ke Harimau Malaya, coach muda disebut ganti KPG
BACA LAGI: Masih tercari-cari rentak di Vietnam, Dos Santos akui New Zealand lawan yang sukar
Keputusan seri 1-1 direkodkan dalam aksi pemanas badan Harimau Malaya. — Facebook/Auckland FC
Lebih mengejutkan lagi, skuad kebangsaan pada awalnya ketinggalan selepas pemain lawan, Francis de Vries membuka jaringan pada minit ke-25 sebelum Nooa Laine mengikat kedudukan beberapa minit selepas babak kedua berlangsung.
Keputusan terbabit sememangnya sukar diterima penyokong Harimau Malaya memandangkan Auckland FC merupakan pasukan yang baru sahaja dibangunkan kira-kira lapan bulan lalu.
Jadi, kemenangan cukup diharapkan dalam perlawanan yang diadakan sebagai 'pemanas badan' buat anak-anak buah Pau Marti untuk aksi persahabatan menentang New Zealand Isnin depan.
"Negara berdepan kelab hanya keputusan seri amat membazirkan kerana pasukan negara hanya main jauh-jauh. Inilah sebabnya tiada yang mahu berdepan skuad kebangsaan memandangkan mereka tidak cukup berkualiti," kata Jock Liang Goh.
"Datang jauh-jauh tetapi hanya berdepan kelab sahaja, tolonglah buat kerja lebih pantas wahai FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Angan-angan besar, tetapi usaha kurang," kata Adha Ariffin.
Gol Nooa Laine mengelakkan skuad kebangsaan daripada mengalami kekalahan. — Facebook/FAM
"Bukankah masa ini terbaik untuk mencari negara demi menaikkan mata ranking negara? Rugi peluang sekiranya berdepan kelab sebegini, belanja sahaja sudah berapa dikeluarkan," kata Naim Mohamad.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan badan induk bola sepak negara tersebut sudah menjemput lapan negara untuk perlawanan persahabatan, namun masing-masing enggan menerimanya atas sebab tertentu.
Keputusan seri itu tidak mendatangkan sebarang mata dalam ranking FIFA kerana ia hanya dianggap sebagai aksi persahabatan Tier 2 yang tidak akan memberi mata seperti mana perlawanan dalam 'Tier 1'.
Jadi, untuk menaikkan kedudukan negara yang kini berada di tangga ke-132 dunia, kemenangan perlu direkodkan ketika menentang New Zealand sebelum tempoh kalendar FIFA ditutup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram