
KEBELAKANGAN ini, arena bola sepak tanah air banyak dikaitkan dengan DNA Sepanyol terutama selepas kelab elit Liga Malaysia (Liga M) iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) mengejutkan penyokong dengan saga perpindahannya.
Harimau Selatan pada minggu lalu mengumumkan kemasukan bekas tonggak Real Madrid, Jese Rodriguez dengan pemain berkenaan dibawa masuk untuk menambah variasi di bahagian serangan JDT terutama untuk saingan Kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Tidak cukup dengan pemain berpengalaman beraksi dengan kelab gergasi seperti Paris St Germain, Sampdoria, Stoke City dan Real Betis itu, JDT juga baru-baru ini dikaitkan akan membawa masuk bekas tonggak Barcelona iaitu Sandro Ramirez.
BACA LAGI: Jumpa kelab dulu sebelum lawan New Zealand tetap bagus untuk Harimau Malaya — Pau Marti
BACA LAGI: [VIDEO] Chris Wood beri amaran awal buat Harimau Malaya selepas robek gawang Chelsea
DNA Barcelona itu rupanya turut merebak ke skuad Harimau Malaya apabila dikhabarkan skuad kebangsaan kini dikhabarkan akan menggunakan khidmat pengendali berdarah Sepanyol iaitu Albert Sanchez.
Menerusi khabar angin yang dicetuskan oleh laman penyokong bola sepak tanah air, Onefootballmy mendakwa bahawa pengendali berusia 37 tahun berkenaan sedang berada dalam senarai untuk menggantikan Kim Pan-gon.
Sedikit info mengenai Sanchez, pengendali berkenaan kini masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2025 bersama pasukan simpanan Barcelona, iaitu FC Barcelona Atletic yang beraksi di divisyen ketiga bola sepak Sepanyol.
Setakat tujuh perlawanan musim ini, Sanchez yang pernah melatih skuad Bawah 19 tahun Barcelona itu sudah merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
Pada Julai lepas, pengendali Korea Selatan berkenaan mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya atas sebab-sebab peribadi yang enggan didedahkan.
Pemergian mengejut itu membuatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik pembantunya, Pau Marti Vincente sebagai pengendali interim sementara badan induk berkenaan mencari pengganti sesuai.
Pau Marti membalas kepercayaan FAM dengan menamatkan penantian negara untuk menjulang trofi akhirnya tamat selepas Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka buat kali ke-13 hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Lubnan pada September lepas.
Kini, taktikal Pau Marti akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang New Zealand dalam pada 14 Oktober ini di Auckland, New Zealand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram