[VIDEO] Padang 'bendang' tak halang aksi kelayakan Piala Dunia Argentina-Venezuela


  • Podium
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Antara aksi pemain Argentina yang bermain dengan keadaan padang basah di di Stadium Monumental de Maturin pada Jumaat. — Facebook/Romano

JUARA Piala Dunia 2022, Argentina terpaksa berpuas hati sekadar meraih keputusan seri 1-1 dalam perlawanan menentang Venezuela pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pada Jumaat.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Monumental de Maturin dekat Maturin, Venezuela itu menyaksikan Argentina terlebih dahulu mencetak gol menerusi Nicolas Otamendi yang menyudahkan sepakan percuma daripada Lionel Messi.

Manakala, pasukan tuan rumah pula tidak berputus asa untuk mencari gol penyamaan dengan ia dijayakan oleh Salomon Rondon menanduk masuk hantaran silang Yeferson Soteldo yang melepasi jangkauan penjaga gol Argentina, Geronimo Rulli.

BACA LAGI: Aksi berdepan JDT ditangguh, Pengerusi Perak dakwa tak diberi ruang berbincang oleh MFL

BACA LAGI: 'Takut air?', bekas CEO TBG jawab 3 soalan fans lepas aksi JDT-Perak tertangguh lagi

Perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata itu meraih pujian penyokong apabila semua pemain menunjukkan kesungguhan walaupun dalam keadaan padang yang tidak mengizinkan.

Hujan lebat di Maturin, Venezuela menjejaskan keadaan padang sebelum sepak mula sehingga memaksa perlawanan ditangguhkan seketika sebelum pemain dipanggil kembali bermain di padang yang basah.

Senario padang bertukar bendang berkenaan turut mencuit hati penyokong bola sepak tanah air apabila baru-baru ini aksi antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak FC terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat membasahi bumi Ipoh.

Melihat perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Argentina dan Venezuela yang berlangsung seperti biasa itu membuatkan penyokong membandingkan keputusan penangguhan dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, meskipun terlihat seolah-olah pemain Argentina selesa bermain dengan keadaan padang basah itu namun hakikatnya, Messi menyalahkan situasi berkenaan sehingga menyebabkan pasukannya sekadar meraih satu mata.

"Ia sangat sukar untuk beraksi dengan keadaan sebegitu rupa. Ia membuatkan perlawanan menjadi sangat jelek. Kami tidak dapat menyempurnakan dua hantaran berturut-turut.

"Pada separuh masa kedua kami melakukannya di sebelah kanan lebih sedikit, tetapi sukar untuk bermain seperti itu," luah ketua pasukan Argentina itu kepada TyC selepas perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram