Tewas tipis di tangan Filipina, nama tonggak Kedah wajar dipanggil ke skuad 7s Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Liridon (berjersi nombor lapan) kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan. — Facebook/KDAFC

PASUKAN bola sepak 7's Malaysia gagal mencari kemenangan kedua mereka apabila tewas kepada Filipina dengan keputusan 3-4 dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak 7's Asia di EV Arena Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Perlawanan yang mempamerkan beberapa barisan legenda dari kedua-dua negara itu saling berbalas serangan sebelum Filipina berjaya mengesahkan kemenangan dramatik.

Kejayaan pasukan Filipina dicetak menerusi hatrik daripada tonggak utama mereka iaitu Hartmann dan gol kemenangan disudahkan menerusi usaha pemain berpengalaman, Stephan Schrock.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 'offer' main tanpa gaji, Liridon kongsi gol mantap gandingan bersama legenda AC Milan

BACA LAGI: Dikaitkan dengan pemain import bersara, Kelantan Darul Naim FC mahu rombak serangan pasukan?

Dua jaringan gol dari bekas pemain Terengganu iaitu Manaf Mamat dan satu sepakan percuma Ameer Saidin tidak cukup untuk membantu Malaysia meraih tiga mata dalam aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak 7's Asia itu.

Kekalahan tipis berkenaan membuatkan para penyokong mempersoalkan pemilihan pemain yang disenaraikan oleh Sulaiman Hussin, selain pengendali berkenaan dianggap tidak mempunyai identiti bermain.

Menjengah ruangan komen penyokong, ada penyokong menyarankan agar Sulaiman memanggil pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi, yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

"Liridon sepatutnya kena panggil untuk perlawanan ini," cadang penyokong domestik, Slyvester Malling.

"Malaysia macam biasa tiada corak permainan. Berganting kepada counter attack sahaja," tambah penyokong bola sepak tanah air, Shah Roswell Return.

"Mat Don (Liridon) tengah tak main dengan mana-mana pasukan kan, patutnya boleh sahaja panggil dia main," komen penyokong Malaysia, Mrf M Ross.

Idea untuk memanggil bekas pemain Kedah itu mula tercetus apabila Liridon sering menyatakan hasratnya untuk kembali beraksi tanah air selepas kali terakhir beraksi buat Terengganu FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim lalu.

Malaysia kini akan berdepan Hong Kong pada Jumaat pukul 4.30 petang, dan kemenangan amat diperlukan untuk membaiki kedudukan dalam kumpulan serta menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram