Sebelum jadi superstar Chelsea, Cole Palmer pernah 'selisih' Arif Aiman, uji 2 bek Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Cole Palmer merupakan prospek hangat yang sudah membantu Chelsea ke tahap lebih tinggi ketika ini. — Agensi

SEBUT sahaja nama Cole Palmer, peminat bola sepak antarabangsa sudah tentu mengenali bintang Chelsea itu yang cukup berbahaya dalam menyudahkan mahupun mencipta peluang buat rakan sepasukan.

Dia yang sudah mencatatkan 28 gol dan 17 bantuan jaringan dalam 59 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat skuad The Blues dan Manchester City sesuai dikatakan prospek terhangat ketika ini.

Namun, dalam usaha menjadi seorang bintang, arkitek berusia 22 tahun itu perlu menempuhi pelbagai cabaran di peringkat belia dengan menyertai setiap pertandingan ditawarkan.

BACA LAGI: Tidak dibayar ikut beban kerja, Malaysia kehilangan khidmat bekas bintang EPL terajui NFDP

BACA LAGI: 'Ada perkara besar lain perlu diberi perhatian berbanding FAM ambil alih AMD, NFDP'

WhatsApp Image 2024-10-11 at 4.02.27 PM

Cole Palmer berada dalam perlawanan akhir Piala Supermokh 2015.

Dia yang meluangkan masa bertahun-tahun dalam pasukan simpanan The Citizens pernah beraksi dalam liga khas buat skuad muda dengan harapan ia memberikan minit permainan mencukupi buat 'ubi muda'.

Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa dia Palmer pernah membuktikan kebolehannya dalam kejohanan Piala Supermokh anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) kira-kira sembilan tahun lalu.

Ketika itu, pemain antarabangsa England itu beraksi bersama skuad belia Manchester City di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menentang Malaysia Tigers yang juga membariskan bintang muda tanah air untuk kategori Bawah 13 Tahun (B-13).

Perlawanan akhir tersebut berakhir dengan kemenangan buat skuad muda The Citizens menerusi keputusan 1-0 yang menyaksikan Palmer diturunkan pada awal permainan terbabit.

2763009

Keunggulan Arif Aiman sudah dapat disaksikan di peringkat antarabangsa. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Menariknya, skuad muda negara yang dikendalikan Datuk Lim Teong Kim turut menampilkan beberapa pemain dikenali hari ini, seperti Arif Aiman Hanapi, Harith Haiqal Adam Afkar serta Ahmad Zikri Khalili.

Arif yang sememangnya produk Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) tidak perlu dikenalkan lagi kepada peminat bola sepak tanah air kerana kebolehan dimilikinya sudah disaksikan di sekitar Asia.

Kualitinya tersebut dipamerkan sejak dia membuat debut buat pasukan utama Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan tiga Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) berturut-turut diraihnya setakat ini.

Bagi Harith Haiqal dan Ahmad Zikri pula, mereka boleh dikategorikan sebagai pemain regular buat Selangor FC yang mencatatkan rekod pertahanan kedua terbaik dalam Liga Super setakat ini.

2654392

Harith Haiqal diturunkan dalam skuad kebangsaan sebanyak beberapa kali. Facebook/FAM

Tumpuan pasti lebih tertumpu kepada Harith yang merupakan bek tengah pasukan dengan dia juga sudah diberikan penampilan bersama Harimau Malaya sebanyak beberapa kali setakat ini.

Kisah sedikit berbeza disaksikan dalam karier Ahmad Zikri yang hanya menerima peluang kerap musim ini dengan beberapa sumbangan penting sudah direkodkan pemain pertahanan sayap berkenaan.

Ketiga-tiga bintang tempatan itu sedikit sebanyak menceritakan kejayaan program NFDP setakat ini, namun usaha lebih banyak perlu dicurahkan sekiranya mahu hasil lebih menguntungkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram