
KEMERIAHAN sudah dapat dirasai menjelang aksi Kejohanan 7-Sebelah (7s) Asia yang mengumpulkan lapan negara untuk berentap dalam kejohanan berlangsung di EV Arena Elmina, Shah Alam, Selangor bermula Khamis sehingga Ahad ini.
Manakan tidak, melihat kepada senarai pasukan bertanding, cabaran sengit sememangnya dijanjikan dengan Jepun sebagai juara bertahan dan pasukan negara sebagai tuan rumah akan menjanjikan saingan hebat.
Selain itu, skuad kebangsaan yang dikendalikan Sulaiman Hussin dibarisi pemain berpengalaman dan berkualiti bagi mencerahkan peluang melepasi peringkat kumpulan di samping membawa pulang trofi kejuaraan.
BACA LAGI: Jumpa kelab dulu sebelum lawan New Zealand tetap bagus untuk Harimau Malaya — Pau Marti
BACA LAGI: Sekadar tubuh unit baharu, tak swastakan Harimau Malaya, ramai masih mahu FAM dirombak cukup-cukup
Dari kiri: Indra Putra, Manaf dan Razman akan mewakili skuad 7s negara. — Sukanz
Antara yang disenaraikan dalam pasukan 7s negara ialah pemain senior PT Athletics, Indra Putra Mahayuddin serta Abdul Manaf Mamat yang masih beraksi secara amatur bersama KBN FC dalam saingan Liga Bola Sepak Jajahan Tumpat.
Bekas bek tengah negara, Razman Roslan turut diletakkan dalam senarai pasukan meskipun dia kini tidak lagi aktif bermain selepas bergelar pemerhati sukan sejak beberapa tahun lalu.
Ketiga-tiga pemain berkenaan pasti akan memeriahkan lagi saingan Kejohanan 7s Asia kerana peminat bola sepak pasti enggan melepaskan peluang menyaksikan ikon bola sepak negara itu.
Perasaan berkenaan lebih dirasakan dalam kalangan peminat sekitar Pantai Timur yang masih merindui kelibat ketiga-tiga pemain tersebut yang pernah merancakkan arena sukan berkenaan di kawasan terbabit.
Indra Putra pernah menjadi tonggak Harimau Malaya satu ketika dahulu.
"Tetap sokong anak watan walaupun tidaklah sehebat pemain import kerana yang jelas, mereka tetap anak Malaysia," kata Tauket Khusni.
"Ketiga-tiga pemain ini pernah beraksi untuk pasukan Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang satu ketika dahulu," kata Izuandy Zakri Wady.
"Masing-masing pun ada bermain dalam liga semi pro tu, memang masih cukup padu. Kalau dah namanya kaki bola, memang selamanya akan gila bola," kata Ahmad Munir.
Indra Putra sememangnya sinonim dengan suasana bola sepak Pantai Timur, terutamanya sepanjang beraksi buat Kelantan FC apabila dia menjadi watak utama ketika zaman kegemilangan pasukan berkenaan.
Tempoh dihabiskan Razman bersama skuad Tok Gajah masih segar dalam ingatan.
Perkara sama turut disaksikan buat Manaf ketika bersama Terengganu dan Razman dengan Pahang dengan masing-masing menabur bakti untuk membawa pulang kejuaraan buat kelab masing-masing.
Ketiga-tiga pemain itu juga pernah membawa kenangan manis buat skuad kebangsaan sepanjang karier yang pasti sukar dilupakan penyokong setia Harimau Malaya sehingga hari ini.
Razman pasti paling diingati kerana membantu menamatkan penantian Piala AFF dengan menjuarainya pada 2010 sementara Indra Putra dan Manaf pernah meraih beberapa penampilan sebelum menggantung but.
Pengalaman diraih di peringkat kelab dan antarabangsa itu pasti diharap dapat dicurahkan dalam Kejohanan 7s Asia dengan pasukan negara akan memulakan kempen berdepan India pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram