Sekadar tubuh unit baharu, tak swastakan Harimau Malaya, ramai masih mahu FAM dirombak cukup-cukup


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

Badan induk bola sepak negara itu masih belum dapat membawa skuad kebangsaan ke landasan terbaik ketika ini. — Facebook/FAM

SEBELUM ini, terdapat ura-ura mengatakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bercadang menswastakan Harimau Malaya yang belum berada dalam landasan terbaik meskipun pelaburan jutaan ringgit sudah dibuat.

Cadangan itu dibuat berserta infografik yang menceritakan perancangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan dengan ia dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Namun, pelan tersebut seperti tidak menerima respons baik daripada peminat bola sepak tempatan yang berasakan langkah itu tidak pernah dibuat mana-mana negara sebelum ini.

BACA LAGI: VAR negara di landasan terbaik standard FIFA, bakal latih 3 pengadil wanita — FAM

BACA LAGI: Pau Marti lulus ujian pertama tapi hala tuju FAM tak diketahui lagi — Zainal Abidin

2256917

Harimau Malaya tidak akan diswastakan berdasarkan pengumuman Yusoff Mahadi. Facebook/FAM

Bagi mereka, cadangan Tunku Ismail itu tidak logik dengan masing-masing berasakan langkah terbaik untuk membantu skuad kebangsaan adalah dengan membuat pelaburan lumayan.

Malah, pada Isnin, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Yusoff Mahadi juga sudah menepis idea berkenaan sambil sempat menjelaskan satu unit baharu akan ditubuhkan.

Jelasnya, unit berkenaan ditubuhkan bagi menyelia dan memantau Harimau Malaya selain memastikan terdapat kesinambungan antara skuad muda kebangsaan dengan pasukan utama.

"Unit ini akan bertanggungjawab kepada Presiden (Tan Sri Hamidin Mohd Amin) dan juga Exco FAM. Cuma peruntukan untuk unit ini akan dijaga khusus supaya kewangannya tidak digunakan kepada lain kerana kita pun ada banyak skuad kebangsaan yang lain” katanya pada Isnin.

Perancangan itu jelas menyaksikan masih tiada perubahan khusus terhadap badan induk bola sepak negara itu dengan pucuk kepimpinan masih dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga kongres tahun depan.

Hal tersebut sekali gus membuatkan mereka berasa kecewa kerana terdapat desakan sebelum ini untuk menyaksikan FAM dirombak berikutan prestasi tidak menentu Harimau Malaya.

Yusoff-Mahadi-FAM-2024-805x537

Yusoff menjelaskan FAM hanya akan mewujudkan satu unit baharu. Facebook/FAM

"Kalau tidak mahu diswastakan, rombak sahajalah semua pimpinan yang ada dan tukar pula kepada mereka yang lebih muda, tengok apakah pula hasilnya," kata Norhisam Ismail.

"Ohh, ingat perancangan TMJ itu akan direalisasikan, tetapi tidak pula. Tidak mengapalah, harapnya rombakan dapat dibuat demi pasukan bola sepak negara juga," kata Haziq Azri.

"Inilah masanya untuk terus melakukan rombakan terhadap FAM. Serik nak tengok Harimau Malaya berada di takuk lama untuk bertahun-tahun lamanya, perubahan perlu dibuat," kata Jamal V2.

Untuk rekod, AFC sebagai badan induk bola sepak Asia tidak akan menyekat projek 'penswastaan' skuad kebangsaan yang mahu bergerak secara berasingan, namun itu tidak bermaksud pengurusan skuad kebangsaan perlu berasingan dengan FAM.

Bagaimanapun, dengan tiada rujukan sesuai, perancangan itu tidak dapat dilaksanakan yang menyaksikan Harimau Malaya terus berada di bawah seliaan FAM seperti tahun-tahun sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram