PENGENDALI sementara Harimau Malaya, Pau Marti menanggap pertemua dengan kelab di New Zealand masih lagi baik untuk memantau prestasi pemain.
Memetik laporan Buletin TV3, pengendali dari Sepanyol itu mengatakan dia memandang positif perkara tersebut sebelum Harimau Malaya berdepan skuad kebangsaan New Zealand pada 14 Oktober.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai satu perlawanan persahabatan Tier 1 pada Oktober dengan Harimau Malaya bertemu gergasi Oceania tersebut di Auckland, New Zealand.
BACA LAGI: [VIDEO] Chris Wood beri amaran awal buat Harimau Malaya selepas robek gawang Chelsea
"Kita akan berdepan kelayakan Piala Asia pada Mac depan, bagi saya apa yang penting adalah cuba mendapatkan perlawanan persahabatan yang berkualiti untuk persiapkan pasukan.
"Kita akan bermain aksi persahabatan dengan kelab di New Zealand, saya fikir pasukan kelab yang kuat dan saya harap ia juga dapat membantu pemain untuk mendapatkan minit permainan.
"Jadi, untuk kami ia tetap bagus untuk memantau pemain. Untuk kali ini kami terlepas peluang untuk bermain satu lagi aksi persahabatan, tetapi bagi barisan kejurulatihan, kami gembira dapat peluang ini," ujar Marti.
Buat masa sekarang, masih belum dinyatakan identiti kelab tersebut yang bakal ditentang oleh Harima Malaya.
Namun begitu, Malaysia berpotensi bertemu dengan salah satu kelab utama negara tersebut baik yang beraksi dalam liga domestik New Zealand. Berkemungkinan juga Harimau Malaya akan bertemu Wellington Phoenix, kelab New Zealand yang beraksi di saingan domestik Australia.
Bagi aksi pada November, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengesahkan bakal bertemu India dengan satu lagi negara masih dalam proses pengesahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram