NAMA Tan Cheng Hoe dan Nafuzi Zain kini terus disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk menjadi pengendali baharu Terengganu FC bagi menggantikan Tomislav Steinbruckner yang meninggalkan posisi itu September lalu.
Resume kedua-dua mereka boleh dikatakan cukup menarik apabila masing-masing memiliki kelebihan tersendiri, baik di dalam mahupun di luar padang dengan hal itu dapat disaksikan sepanjang mereka menceburi bidang kejurulatihan.
Namun, sekiranya ditanya penyokong skuad Sang Penyu, mereka sudah tentu lebih tertarik dengan Cheng Hoe yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam dunia tersebut.
BACA LAGI: 'Dengan situasi sekarang, tak pelik kalau Nafuzi Zain angkat kaki'
BACA LAGI: Game Sri Pahang jadi penentu, Nafuzi Zain, Fauzi Saari dicanang makin hampir tinggalkan Kedah?
Cheng Hoe masih menjadi pilihan dalam kalangan penyokong Terengganu FC. — MFL
Selain mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, jurulatih kelahiran Kedah itu memiliki sejarah kejayaan sepanjang bersama skuad Sang Kenari dan Selangor FC.
Malah, kecenderungan untuk memilih bekas pengendali Harimau Malaya tersebut timbul kerana masing-masing mahu nafas baharu dan tidak ingin sekali lagi terikat dengan Nafuzi.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa, Nafuzi merupakan calon lebih ideal untuk mengembalikan Terengganu FC daripada prestasi terumbang-ambing seperti mana pernah dilakukannya sebelum ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini merupakan tiga sebab jurulatih kelahiran Kelantan berkenaan lebih layak mengemudi skuad Sang Penyu berbanding Cheng Hoe.
1. Lebih mengenali pemain Terengganu FC
Seperti dinyatakan di atas, Nafuzi pernah mengendalikan Terengganu FC sebelum berkelana ke Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan tempoh empat musim diluangkannya di Pantai Timur.
Malah, sebelum memegang jawatan ketua jurulatih, dia sudah terlibat secara dekat dengan skuad Sang Penyu ketika bergelar pembantu kepada Irfan Bakti Abu Salim selama beberapa tahun.
Jadi, masa diluangkan itu sudah cukup untuk membina hubungan kukuh antaranya dengan pemain serta staf kejurulatihan Terengganu FC dengan hampir kesemua daripadanya pernah berada di bawah kendalian Nafuzi.
Nafuzi meluangkan masa beberapa tahun bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Tonggak utama seperti Shahrul Nizam Ros Hasni, Azam Azmi Murad serta Suhaimi Hussin pasti masih memahami gaya permainan diterapkan pengendali itu selepas bertahun-tahun bekerjasama.
Hubungan kukuh tersebut akan memudahkan tugasan Nafuzi untuk membawa semula Terengganu FC ke tahap lebih tinggi, seperti mana pernah dilakukannya pada saingan Liga Super 2022.
Perbezaan di beberapa posisi dan aspek juga sudah tentu dapat diuruskannya dengan baik melihat kepada dua tahun diluangkannya bersama skuad Sang Kenari.
2. Gaya permainan Nafuzi lebih 'fresh'
Sepanjang kira-kira semusim setengah diluangkan Cheng Hoe di Selangor FC, dia beberapa kali berdepan kritikan daripada penyokong Gergasi Merah yang beranggapan gaya permainannya terlalu pasif.
Meskipun dapat menghasilkan keputusan bermakna, pendekatan sedemikian boleh dikatakan memakan diri sekiranya berdepan pasukan dengan kualiti lebih baik seperti Johor Darul Ta'zim atau pasukan lain di peringkat Asia.
Bagaimanapun, situasi berbeza dapat dinilai bagi Nafuzi yang sering membawa taktikal lebih meyakinkan sehingga membolehkan kelab dikendalikannya sering meraih keputusan positif.
Kecemerlangan Nafuzi diteruskan bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Pada musim pertamanya bersama skuad Sang Kenari, pasukan itu beraksi cukup baik sehingga menamatkan kempen Liga Super di kedudukan keempat dengan hanya beberapa mata membezakan mereka dengan slot ke Asia.
Bagi saingan 2024/25 pula, Nafuzi berdepan isu pengurusan di luar padang yang menyaksikan pasukannya bergelut, namun masih dapat memberikan cabaran dalam beberapa perlawanan.
Jadi, sekiranya Terengganu FC dapat memujuknya semula, mereka sudah tentu dapat menampilkan aksi terbaik seperti mana pernah disaksikan dua musim lalu.
3. Masih disayangi penyokong
Perpindahan Nafuzi dari skuad Sang Penyu ke KDA FC kurang direstui penyokong kerana terdapat konflik yang berlaku antara jurulatih berkenaan dengan pihak pengurusan kelab.
Ini kerana dia berasakan sumbangan dan khidmatnya tidak dihargai meskipun sudah membawa pasukan itu ke pentas akhir Piala FA 2022 dan kedudukan naib juara Liga Super pada tahun sama.
Bagaimanapun, di atas padang, jurulatih berkenaan kekal fokus dan tidak terkesan dengan konflik berkenaan apabila Terengganu FC berada dalam landasan terbaik sehingga perlawanan terakhir.
Nafuzi masih disayangi rata-rata penyokong skuad Sang Penyu sehingga hari ini. — Facebook/Ultras Tranung
Sumbangan itu sekali gus memadamkan perasaan kecewa penyokong terhadap Nafuzi kerana masing-masing mula menghargai sentuhannya, lebih-lebih lagi selepas kehilangannya ke Utara tanah air.
Perasaan berkenaan kekal sehingga hari ini apabila masih terdapat sebilangan besar pengikut setia skuad Sang Penyu yang mengharapkan kepulangannya dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram