ISU tanah mendap di Kuala Lumpur semakin merisaukan ekoran beberapa kawasan difahamkan turut terkesan dengan kejadian di Masjid India pada minggu lalu.
Kejadian sama dikesan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi berkenaan susulan hujan lebat dan ribut yang melanda pada Rabu sekali gus mengakibatkan kawasan tersebut terpaksa ditutup bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
Terbaharu, tular perkongsian warganet di Facebook memaparkan sebuah jalan raya berlubang di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Jumaat.
BACA LAGI: Satu lagi mendapan dikesan 50 meter dari lokasi tanah jerlus Masjid India
BACA LAGI: Frankie dan Denti kembali ‘beraksi’, jejak mangsa terjerumus lubang Masjid India
Lebih merisaukan apabila terdapat laluan air deras seakan sungai di bawah laluan berkenaan yang nyata mengundang cemas dalam kalangan pengunjung di kawasan itu.
"Jalan melopong macam air sungai kat bawah jalan KL ni, satu-satu kes tanah mendap akan berlaku, mohon DBKL ambil tindakan segera," kata Ghazali Khiman.
"Ni mesti ada satu paip air yang pecah kat bawah jalan, menyebabkan air akan pergi ke mertat tempat dan tanah meopong, mula-mula sikit lama kelamaan apa akan jadi," ujar Nick Mhd Nazeri.
"DBKL patutnya kena wujudkan saluran khas isu mendapan tanah ni, mudahkan cara orang nak buat aduan dengan tindakan yang segera," kata Abd Kimi.
"Penghuni ibu kota dah fobia sekarang, rasa macam tak selamat nak pijak tanah sebab tiap hari ada isu mendapan tanah," tambah Kembara Mahsyar.
Terdahulu, insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Masjid India.
Walau bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menghentikan kaedah penyelaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kerana terlalu berisiko. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram