KHIDMAT dua ekor anjing dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Frankie dan Denti kembali ditagih dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut JBPM, anjing baka 'English Springer Spaniel' itu dibawa ke kawasan tanah jerlus berkenaan pada pukul 5 petang untuk membantu pasukan SAR mengesan mangsa yang masih hilang.
Aksi Frankie dan Denti menarik perhatian luas masyarakat dan orang ramai yang hadir di tempat kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari Batang Kali ke Turkiye, ramai harap Denti dan Frankie dikurniakan darjah kebesaran
BACA LAGI: [VIDEO] Hero Batang Kali kembali ke Jeram Air Putih: Frankie, Denti, Grouse dan Lady kekal 'tip-top'
Kedua-dua anjing itu memasuki lubang benam bersama pengendali mereka dan menjalankan pencarian selama kira-kira 10 hingga 15 minit.
Untuk rekod, Frankie dan Denti menawan hati rakyat Malaysia sepanjang penglibatan mereka dalam operasi SAR selepas tanah runtuh Batang Kali di Ladang Organik Bapa, Batang Kali, Selangor, Disember tahun lalu.
Beberapa bulan kemudian, kedua-dua anjing itu yang telah berkhidmat selama tujuh tahun, telah diterbangkan ke Turkiye selama 14 hari untuk membantu dalam operasi SAR khas berikutan gempa bumi dahsyat yang meragut kira-kira 50,000 nyawa pada Februari tahun ini.
Pada Jumaat, pasukan SAR sebelum ini telah menggunakan unit K9 tetapi tidak menemui sebarang petunjuk baharu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pasukan SAR termasuk menggunakan botol bagi menentukan masa yang diambil untuk sesuatu objek sampai ke titik akhir di Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Selasa (27 Ogos) menandakan hari kelima operasi SAR bagi mengesan mangsa berusia 48 tahun, yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter pukul 8.22 pagi Jumaat.
Mangsa yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India difahamkan sedang bercuti bersama keluarganya di Malaysia dan sedang berjalan menuju ke sebuah kuil berhampiran untuk bersarapan ketika kejadian berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram