Tak mahu serabut dengan kurikulum KPM, pakar psikologi nekad hantar anak ke sekolah antarabangsa


  • Massa
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Sekolah antarabangsa mulai menjadi pilihan bagi sebahagian ibu bapa di negara ini. — Gambar hiasan

PENUBUHAN sekolah antarabangsa bertujuan memenuhi keperluan pendidikan anak warga asing, ekspatriat dan diplomat luar yang bertugas di Malaysia.

Kewujudan institusi itu juga menjadi antara faktor utama untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus menjadikan negara sebagai hab pendidikan utama di rantau ini.

Bagaimanapun kini, sekolah antarabangsa mulai menjadi pilihan bagi sebahagian ibu bapa di negara ini, dengan jumlah pelajar warganegara yang mendaftar di sekolah berkenaan menunjukkan peningkatan saban tahun.

BACA LAGI: KPM desak henti manipulasi isu sumbangan kepada sekolah

BACA LAGI: Tak percayakan sistem pendidikan awam, 'guru KPM' luah lebih rela hantar anak ke sekolah swasta

Berdasarkan perkongsian pakar Psikologi Klinikal dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Siti Raudzah Ghazali menerusi laman X (Twitter) miliknya, beliau memutuskan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah antarabangsa bertujuan mengurangkan tekanan yang dialami mereka.

"Saya pindahkan anak-anak sebab nak kurangkan tekanan mereka yang serabut menghadap kurikulum nasional yang terlalu banyak, tinggi dan berpaksikan peperiksaan.

"Di sekolah lama, anak-anak mengeluh, ada kalanya cikgu tak masuk kelas sebab menguruskan program yang dianjurkan. Saya tak salahkan guru.

"Guru anak-anak saya semua berwibawa. Saya sangat sedih apabila meninggalkan mereka," ciapnya pada Khamis.

Beliau dalam pada itu turut mengulas lanjut mengenai beberapa kelebihan mendaftar anak di sekolah antarabangsa.

Ujarnya, antara kebaikan tersebut adalah dari segi bilangan pelajar yang kurang dalam sesebuah kelas, merangkumi hanya 20 hingga 23 murid.

Selain itu, tiada grup WhatsApp diwujudkan antara guru dan ibu bapa pelajar, sebaliknya semua urusan dibuat hanya melalui e-mel.

sa3

Ketiadaan pelancaran bagi mana-mana program menyebabkan guru di sekolah antarabangsa tidak kalut untuk memikirkan hal lain, selain mengajar.

"Tiada hari peluncuran, pelancaran, perasmian itu ini. Urusan utama cikgu (adalah untuk) mengajar.

"Mesyuarat ibu bapa pula kalau mula pukul 3 petang dan dijadualkan habis sejam, memang sejam sahajalah habis," ungkapnya.

Kongsi Dr Siti Raudzah lagi, keadaan tandas yang lebih bersih di sekolah antarabangsa juga menjadi antara faktor penarik.

Situasi itu membuat anak-anak lebih selesa untuk membuang air besar atau kecil, tanpa perlu menahan diri.

Malah, ketiadaan pelancaran bagi mana-mana program juga menyebabkan guru tidak kalut untuk memikirkan hal lain, bagi memberi fokus kepada sesi pembelajaran pelajar.

Lebih menarik jelasnya, kehadiran guru besar, penolong kanan akademik dan penolong kanan murid yang menyambut pelajar dengan wajah sangat manis pada awal pagi, menjadikan pelajar lebih bersemangat untuk memulakan hari di sekolah.

WhatsApp Image 2024-08-15 at 12.04.04

Antara kelebihan sekolah antarabangsa juga adalah dari segi bilangan pelajar yang kurang dalam sesebuah kelas.

"Kadangkala saya tengok, anak-anak kecil dengan keletah, tunjuk lukisan yang dibuat di rumah, cikgu akan tunduk dan melayan dengan penuh mesra.

"Sesekali apabila uniform pelajar senget dan selekeh, guru besar atau penolong kanan akan tolong betulkan.

"Anak-anak terus keletah bersembang macam-macam. Setakat nak berbual mesra dan ucapkan selamat pagi sambil lalu ke kelas, anak-anak kecil dan remaja tak berasa takut kerana guru besar sangat peramah.

"Selain itu, tiada juga hari kecemerlangan. Dapat semua A, raikan saja bersama keluarga, yang dapat C dan D boleh terus berusaha. Semua murid sama saja," katanya lagi.

Untuk rekod, penubuhan sekolah antarabangsa menjadi antara faktor utama untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus menjadikan negara sebagai hab pendidikan utama di rantau ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Julai lalu turut memaklumkan, jumlah pelajar warganegara ketika ini merangkumi hampir 70 peratus, manakala Bumiputera hampir 20 peratus.

Menurutnya, dalam tempoh masa lima tahun iaitu 2019 hingga 2024, kemasukan pelajar Bumiputera menunjukkan peningkatan sebanyak 49.4 peratus, sementara bukan Bumiputera (30.6 peratus). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram