Pernah kerugian RM2 juta, anak jati Pahang bangkit dari kegagalan kini miliki 3 kilang kosmetik


  • Bizz
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Norazimah mengakui kegagalan dahulu sebenarnya menjadi titik tolak kepada kejayaannya pada hari ini.

KEGAGALAN bukan bererti pengakhiran hidup.

Pepatah itu jelas menggambarkan perjalanan hidup Ketua Pegawai Eksekutif Haus Cosmetics, Norazimah Abd Jalil atau mesra dipanggil Eiyma oleh kenalan dan pengikut di platform media sosialnya.

Malah kegagalan yang pernah dialami menjadi pemangkin untuk wanita jelita itu menempa kejayaan luar biasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah terima 'bungkusan' tongkeng ayam dan rambut, Wan Azmir anggap hanya mainan psikologi takutkan peguam

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

Pernah mengalami kerugian mencecah RM2 juta saat kilang kosmetik dibuka bersama suami pada 2016, namun ia sedikit pun tidak memutuskan semangat keusahawanan yang menebal dalam diri Norazimah.

Usahawan berusia 42 tahun itu menyifatkan episod kegagalan akibat kesilapan teknikal bahan bancuhan digunakan dalam produk kosmetik yang tidak memenuhi piawaian pelanggan, menjadi pengalaman berharga dan mendorong beliau bangkit mengatur langkah untuk mengejar kejayaan lebih besar.

Rentetan itu pada tahun lalu, Haus Cosmetics mengorak fasa baharu apabila membuka butik kosmetik di pusat beli-belah Mytown, Cheras pada 15 Mac 2023.

"Saya buka kilang kosmetik sendiri sekitar tahun 2016 menggunakan duit simpanan hasil pendapatan sebagai bekas juruaudit bank selama lapan tahun, selain kerjaya sebagai jurusolek artis.

"Ketika itu, cita-cita melangit kerana kilang berkenaan menjanjikan formula halal taraf antarabangsa.

"Bagaimanapun pada tahun kedua operasi, kilang mengalami kerugian dan saya ibarat jatuh terduduk kerana jumlahnya bukan sedikit," kongsi anak kelahiran Temerloh, Pahang itu.

Pemilik syarikat GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd itu menambah, berkat usaha dan sokongan keluarga terutama suami, Azizi Mohd timbul idea untuk menghasilkan jenama Haus Cosmetics yang dikeluarkan pada 2017, sekali gus menaikkan semula operasi syarikat.

"Motivasi dan mencabar diri sendiri untuk berjaya hingga ke tahap luar biasa, selain memikirkan hal anak-anak adalah kunci utama saya bangkit untuk memastikan impian menjadi kenyataan," kata ibu kepada tiga cahaya mata yang berusia 14, lapan dan enam tahun itu.

Cerita pemilik ijazah sarjana dalam bidang teknologi maklumat itu lagi, kira-kira empat tahun lalu, beliau pernah cuba memberanikan diri membuat siaran langsung di media sosial, walaupun pada awalnya kurang yakin dengan penampilan diri.

Namun wanita dengan lapan tahun pengalaman dalam bidang solekan itu masih optimis mahu mendidik dan berkongsi ilmu bersama masyarakat dan pengguna mengenai bahan, teknologi dan cara mendapatkan produk dengan selamat.

"Siang malam (saya) buat siaran langsung, walaupun tiada view (penonton), tetapi selepas beberapa tahun konsisten, ia akhirnya membuahkan hasil," katanya lagi.

Snapinsta.app_356248521_10159738044218460_7801599014021821749_n_1080

Kegagalan yang pernah dialami menjadi pemangkin untuk wanita cantik itu menempa kejayaan luar biasa. — Instagram/eiyma.jalil

Kilang kosmetik

Mengimbas kembali, Norazimah yang juga berperanan sebagai Ketua Kajian dan Pembangunan Produk itu berkata, kegagalan operasi kilangnya sebenarnya menjadi titik tolak kepada kejayaannya pada hari ini.

Kini beliau memiliki tiga kilang kosmetik sendiri yang terletak di Desa Tun Razak, Cheras dengan 70 kakitangan yang menghasilkan jenama produk kecantikan, Haus Cosmetics.

"Pada tahun 2021, nikmat terindah pandemik Covid-19 buat saya apabila bedak Magicpink Compact terjual 100,000 unit diikuti taruhan produk baharu, suplemen Beaubright juga berjaya dicetuskan dengan kolaborasi saintis dari Switzerland yang juga pengasas Mibelle Biochemistrry, Dr Fred Zullie.

"Lebih manis kembara perjalanan kami diiktiraf anugerah besar seperti Superbrand dan Nona Superwoman Award," jelasnya.

Berkongsi lagi tentang pengalamannya, Norazimah berkata, kekurangan produk kosmetik tempatan berkualiti menjadi antara faktor yang mendorong dirinya membuka premis berstatus Pengilang Peralatan Tulen (OEM) kira-kira 10 tahun lalu.

eiyma.jalil2

Norazimah masih berfikiran optimis, iaitu untuk mendidik dan berkongsi pengetahuan bersama masyarakat.

"Berlandaskan pengalaman sebagai jurusolek sekitar tahun 2013 dan 2014, saya sukar mencari produk tempatan berkualiti tinggi dan berstatus halal.

"Pertanyaan ibu saya mengenai produk yang digunakan untuk menyolek wajah pengantin atau klien sama ada halal dan bersih telah membuatkan saya sedar perlunya untuk hasilkan produk sendiri.

"Dari situlah, saya dan suami nekad menubuhkan kilang kosmetik sendiri berstatus halal dan formulasi kualiti bertaraf antarabangsa," tuturnya.

Sebelum itu hampir lima tahun beliau mempunyai kilang kosmetik sendiri dan menjalankan perkhidmatan secara kontrak pengilangan jenama sendiri kepada pengasas kosmetik tempatan dan formulasi kilang diedarkan di pasaran Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Jadi, dengan pengalaman dalam bidang pembuatan formulasi dan mendapat kerjasama saintis Switzerland dan Jepun dapat menaikkan nama baik produk tempatan menepati standard antarabangsa dan halal," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram