SEJAK berkurun lama, sektor pertanian tetap memainkan peranan yang penting walaupun dunia sudah memasuki era moden dan teknologi.
Ini kerana sektor pertanian yang merangkumi bidang perladangan dan penternakan menjadi elemen kritikal sesebuah negara untuk mengekalkan tahap keterjaminan makanan bagi rakyatnya.
Jika gagal menguruskan bekalan makanan dengan baik, situasi itu memaksa kerajaan bergantung harap kepada sumber import dari negara lain.
BACA LAGI: Penduduk Tanjung Tualang sepakat tukar tanah terbiar jadi ladang salad
Kamarulzaman memerah idea dan mencari solusi terbaik bagi membantu negara meningkatkan sektor perladangan negara.
Amat penting bagi kerajaan menetapkan dasar untuk memastikan rakyatnya menceburi bidang pertanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
Namun tidak dinafikan, tanggapan bekerja dalam sektor pertanian terutamanya perladangan tidak membawa keuntungan besar menyebabkan tidak ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut.
Perkara itu turut diakui Pengasas Zaman Dairy Fresh, Kamarulzaman Seeni Mohideen, 59, yang pada awalnya juga beranggapan bahawa bidang perladangan dilihat tidak menjanjikan pulangan yang besar.
Malah ujarnya, boleh dikatakan keuntungan yang diperoleh pada awalnya mungkin tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan.
Menyedari hakikat tersebut, Kamarulzaman enggan terus mengalah, sebaliknya memerah idea baharu dan mencari solusi terbaik bagi mengatasi permasalahan itu, dengan dibantu anak keempatnya, Mohammad Shaffiq Kamarul Zaman.
Produk Zaman Dairy Fresh turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Sehinggalah timbulnya idea untuk menghasilkan valuable item berasaskan susu lembu yang diternak di ladang kami.
"Antaranya termasuklah susu berperisa coklat, strawberi, mangga, susu kocak, smoothie, yogurt dan jeli. Kiranya kita bukan hanya jual susu sahaja, tetapi aneka perisa yang sesuai dinikmati masyarakat pelbagai peringkat umur.
"Sekarang kita ada lebih 40 ekor lembu, dengan anggaran penghasilan 4,000 liter susu sebulan. Itu yang akan diproses menjadi produk.
"Jadi pendapatan lebih bertambah berbanding hanya fokus pada produk tenusu semata-mata," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Ladang yang terletak di Bentong itu memiliki lebih 40 ekor lembu.
Mengimbau kembali perjalanan terlibat dalam sektor perladangan sejak 2014, Kamarulzaman berkata, ladang yang terletak di Bentong, Pahang itu pada asalnya diusahakan oleh beliau dan seorang rakannya.
Beliau yang juga pemilik Nasi Kandar Alam Baiduri yang terletak di Petaling Jaya, Selangor ketika itu menganggap ladang berkenaan juga menjadi satu keperluan penting untuk membekalkan susu kepada restorannya sendiri.
"Saya rasa kedai makan dengan ladang saling berkaitan. Jadi saya bersetuju untuk menyertai kawan mengusahakan ladang tersebut.
"Namun selepas tahun 2014, dia serahkan semua kepada saya untuk kendalikan, sehinggalah kini saya menjadi pengusaha penuh Zaman Dairy Fresh," ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.
Ditanya tentang perkembangan sektor perladangan dalam negara, beliau berpandangan, negara masih lagi bergantung dengan sumber import seperti susu dan daging.
Sedangkan ujarnya, selain tanah yang subur, Malaysia juga dilimpahi dengan cuaca hujan dan panas yang membolehkan rakyat mengusahakan tanaman di negara ini.
Justeru, usahawan itu berharap langkah pihaknya mengembangkan sektor perladangan sedikit sebanyak mampu mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap susu import.
Jeli berasaskan susu antara produk yang dihasilkan Zaman Dairy Fresh.
"Malaysia negara yang membangun dan semakin maju, tetapi duit banyak keluar ke negara lain untuk mendapatkan bekalan sumber makanan.
"Jadi kalau kembangkan bidang penternakan atau pertanian, kita berupaya mengurangkan import dan seterusnya mampu mencipta situasi kewangan negara yang lebih stabil dan terjamin," jelas beliau.
Tidak hanya memfokuskan pada perniagaan semata-mata, Kamarulzaman turut menitikberatkan pendidikan dalam sektor perladangan terhadap golongan muda.
Justeru, Zaman Dairy Fresh juga bekerjasama dengan beberapa agensi dan institusi pendidikan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mengendalikan bidang tersebut.
"Ramai juga pelajar UPM yang buat latihan ilmiah di ladang kami untuk mereka belajar selok-belok bidang ini dan menanam minat generasi muda untuk mengembangkan industri penternakan negara.
"Pada masa sama, saya berharap kerajaan juga akan memperkasakan sektor pertanian negara untuk manfaat rakyat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram