AWE beri manfaat 240 usahawan wanita merangkumi 11 negeri


  • Primer
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Nancy (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita 2024, di Kuala Lumpur pada Selasa.

AKADEMI Usahawan Wanita (AWE) yang dilaksanakan di 11 negeri di seluruh Malaysia sejak empat tahun lalu telah memberi manfaat kepada 240 usahawan wanita tempatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, secara keseluruhannya, program yang bermula sejak 2020 itu memberi impak positif kepada lebih 12,000 individu dalam komuniti usahawan wanita.

Beliau berkata, AWE membuktikan kejayaannya di peringkat global dan Malaysia bertuah kerana dipilih untuk melaksanakan program ini ekoran hubungan kukuhnya dengan Amerika Syarikat (AS).

BACA LAGI: [VIDEO] Orang kedua terkaya di dunia, Gautam Adani boleh jadi contoh teladan usahawan Malaysia

BACA LAGI: Kenaikan gaji, struktur elaun antara pengumuman penting PM berkaitan SSPA pada Jumaat

WhatsApp Image 2024-08-14 at 00.47.22

Nancy ketika melawat ke salah satu reruai usahawan yang dibuka ketika Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita 2024.

"Kerjasama antara AWE, MADCash dan Jabatan Pembangunan Wanita di bawah kementerian ini adalah bukti visi bersama kami untuk memperkasa kaum hawa merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

"Ini adalah pencapaian yang ketara dan kami mengharapkan hasil yang lebih besar daripada kohort kelima ini.

"Saya percaya usaha sama ini akan menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi wanita di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita 2024, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kerajaan secara konsisten membuktikan komitmennya dalam menyokong akses wanita kepada pembiayaan.

Tambahnya, pada 2023, sebanyak RM10.89 bilion telah diperuntuk kepada program perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Pelan Tindakan Bersepadu Perusahaan Kecil dan Sederhana, merangkumi 60 inisiatif yang tertumpu khusus kepada pembangunan wanita.

"Selain itu, kerajaan telah melabur hampir RM2 bilion melalui program keusahawanan untuk wanita pada tahun lalu.

"Matlamat kami adalah jelas iaitu untuk meningkatkan nisbah PKS milik wanita kepada 30 peratus,” katanya.

AWE merupakan sebuah program pertukaran Jabatan Negara AS yang menyasarkan usaha memperkasa wanita dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian yang diperlukan untuk melancar serta mengembangkan perniagaan mereka yang berjaya di peringkat global.

Di Malaysia, AWE adalah sebahagian daripada Inisiatif Pemerkasaan Wanita Kedutaan AS di Kuala Lumpur, yang meningkatkan akses kepada pendidikan, memajukan kesetaraan ekonomi dan mengatasi halangan kepada kesaksamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram