MESKIPUN sudah melangkah ke tahun baharu, masalah sistem pendidikan terutama di sekolah kerajaan masih belum selesai.
Sebelum ini, ramai yang menyuarakan bahawa cara pembelajaran di sekolah kerajaan tidak efektif dan sesuai untuk para pelajar pada zaman kini.
Terbaharu, isu sama dibangkitkan kembali selepas seorang pengguna Facebook Othman Ali memuat naik hantaran melibatkan soalan peperiksaan dalam kalangan murid sekolah rendah.
BACA LAGI: Hanya 2 kali seminggu pakai pakaian seragam sekolah - KPM
Sistem pendidikan di sekolah kerajaan didakwa perlu ditambah baik lagi. — Gambar hiasan
Dalam hantarannya itu, dia mengulas kembali mesej yang diterimanya daripada warganet tanpa didedahkan identitinya dipercayai seorang guru sekolah berkenaan isu tersebut.
Berdasarkan tangkapan skrin mesej dikongsikannya itu, guru terbabit meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sistem pendidikan di sekolah kerajaan.
BACA LAGI: Selain BAP, ambil tahu 3 lagi bantuan sekolah bantu ringankan tanggungan ibu bapa
Dia yang dikatakan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga mendedahkan bahawa sudah hilang kepercayaan terhadap pihak kerajaan dan mengambil langkah menghantar anaknya ke sekolah swasta.
"Sebagai guru saya rasa penat dengan silibus. Saya kesiankan pelajar saya kerana yang di atas tak pernah dengar rintihan orang bawah.
"Walaupun saya guru dan penjawat awam, setelah buat beberapa siri perbincangan, saya dan suami hantar anak kami ke sekolah antarabangsa. Kesimpulannya, ada kalangan para guru pun dah tak percaya pada sistem pendidikan kita," tulisnya.
Tambahnya, dia turut meluahkan rasa puas hatinya terhadap keputusan itu kerana anaknya tidak perlu belajar dalam keadaan tertekan dan persekitaran tidak sihat malah lebih seronok untuk ke sekolah.
Susulan itu, Othman mengambil kesempatan memberi maklum balas dengan menyatakan sokongannya kepada guru terbabit.
Ramai guru dikatakan lebih berpuas hati menghantar anak ke sekolah swasta. — Gambar hiasan
Mengulas lanjut, dia mendakwa, terdapat banyak ruang untuk sekolah kerajaan perbaiki segala kelemahan dan lebih mengambil berat terhadap kualiti pembelajaran yang perlu diberikan kepada para pelajar.
Pada masa sama, dia juga membandingkan cara pihak bertanggungjawab kerajaan luar negara dengan di Malaysia demi memastikan kualiti pendidikan pelajar terjamin.
"Di Australia dan New Zealand, kerajaan ada bajet untuk sekolah swasta kerana rasa tanggungjawab kepada segelintir anak-anak.
"Ini termasuklah sekolah agama sebagai sekolah alternatif yang mengintegrasikan kurikulum iaitu sekolah yang juga dibantu sebahagian bajetnya dari kerajaan kerana kerajaan empati kepada anak-anak yang berhak mendapat pendidikan berkualiti.
"Guru-guru dipastikan oleh kerajaan mesti ada kualiti sebab kerajaan sayangkan anak-anak tersebut," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram