'Tidak adil guru pendidikan khas, agama ditawarkan gaji lebih rendah'


  • Massa
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Golongan guru dalam pendidikan pelajar dengan keperluan khas sering kali menghadapi cabaran yang lebih besar berbanding dengan guru-guru di aliran arus perdana. — Gambar Hiasan/Agensi

DASAR Gaji Progresif (DGP) merupakan komitmen kerajaan untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat bagi meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

Kertas Putih mengenai dasar tersebut juga memperincikan status berkaitan gaji dan produktiviti pekerja serta isu dan cabaran yang dihadapi.

Pelaksanaan dasar berkenaan dimulakan dengan projek rintis pada Mei 2024 membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditentukan bagi pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

BACA LAGI : Syarikat China dominasi harga pasaran online, bimbang 'seller' lokal senasib peniaga Indonesia

BACA LAGI : [VIDEO] Wanita maut tersepit, anak meraung lihat ibu terkulai dirempuh 2 lori dekat Temerloh

Walaupun ia merupakan inisiatif yang baik daripada pihak kerajaan, namun ada yang berpendapat beberapa pekerjaan dan tangga gaji yang disenaraikan melalui projek rintis tersebut tidak setimpal.

Melalui tinjauan di media sosial, ada dalam kalangan warga maya meluahkan rasa tidak berpuas hati dan menggesa pihak berwajib menilai semula struktur gaji bagi guru-guru pendidikan khas..

Ini kerana pekerjaan sebagai guru pendidikan khas memerlukan banyak dedikasi, kesabaran, dan usaha yang luar biasa.

Pada masa sama, para guru yang terlibat dalam pendidikan pelajar dengan keperluan khas sering kali menghadapi cabaran yang lebih besar berbanding dengan guru-guru di aliran arus perdana.

Selain daripada mengajar, mereka juga bertanggungjawab untuk merancang kurikulum yang disesuaikan, menyediakan intervensi individu, serta memberikan bimbingan emosi dan sosial yang intensif kepada pelajar.

GDP

Jadual matriks gaji DGP untuk pekerja peringkat permulaan. — Kementerian Sumber Manusia

Seorang pengguna Facebook, Asyikin Malik berkata, pihak berwajib perlu segera menilai semula struktur gaji bagi guru-guru pendidikan khas.

"Penting untuk memastikan guru-guru ini mendapat ganjaran yang setimpal dengan tugas berat mereka. Ini bukan sahaja untuk kesejahteraan guru-guru, tetapi juga demi memastikan pelajar dengan keperluan khas mendapat pendidikan yang berkualiti," katanya.

Pendapat Asyikin itu turut dipersetujui Norazrin Ariffin.

"Gaji guru pendidikan khas sepatutnya naik lebih banyak lagi. Kesian cikgu-cikgu nak didik anak istimewa, Banyak effort (usaha) mereka," tulisnya.

Sementara itu, Azman Kelubi turut meluahkan rasa kecewa selepas melihat gaji pokok permulaan untuk guru agama hanya dibayar RM2,215 sebulan.

"Sedih, antara guru, guru agama yang paling rendah. Walhal, yang ini perlu diutamakan untuk pembentukan akhlak dan sahsiah manusia.

"Guru muzik pula tinggi gajinya (RM2,630). Nak galakkan manusia main muzik ke apa?" soalnya.

Melalui jadual matriks gaji DGP untuk pekerja peringkat permulaan tersebut, guru pendidikan menengah menerima gaji yang tertinggi dengan bayaran RM3,855 sebulan diikuti dengan guru pendidikan vokasional dengan bayaran gaji sebanyak RM3,755 sebulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram