UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan institusi pengajian tinggi itu di media sosial.
UniSZA turut memandang serius dakwaan itu dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam menjaga mutu program diploma dan ijazah pendidikan tinggi yang dikeluarkan.
Menurut universiti awam itu dalam satu kenyataan pada Jumaat, pihak universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita trauma ditumbuk lelaki mental, abang ipar desak tindakan segera pihak berkuasa
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’
"UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan.
"Pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan serta nama baik universiti dan laporan polis juga dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah berkenaan," katanya.
Melalui kenyataan itu lagi UniSZA akan terus komited dalam menjaga nama baik Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Sebelum ini, tular di media sosial kenyataan seorang individu, DMA Islam yang dipercayai penuntut di UniSZA yang mendakwa dia tidak lagi mahu menyambung pengajiannya kerana beranggapan program ijazah sarjana muda yang diambilnya tiada kaitan dengan matlamat hidupnya.
Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu juga, lelaki terbabit turut mendakwa program ijazah sarjana muda adalah dibeli oleh penuntut apabila perlu membayar yuran pengajian dan UniSZA katanya terhutang budi dengannya atas urusan yang disifatkannya sebagai jual beli itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram