PERCUBAAN licik menyeludup bahan terlarang dipercayai dadah dengan menggunakan dron yang diterbangkan ke dalam Penjara Tapah, Perak gagal apabila disedari seorang petugas pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dron berkenaan dijumpai ketika kakitangan penjara bersama anggota lain membuat rondaan pada hari yang sama kira-kira pukul 11.30 pagi.
"Susulan itu, seorang kakitangan penjara membuat laporan polis selepas menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung salah sebuah blok penjara. Hasil pemeriksaan susulan laporan dibuat pengadu, polis menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’
BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
"Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.
"Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar negara merupakan kes pertama diterima setakat ini," katanya.
Tegas Azizi lagi, pihak polis memandang serius dengan aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes penyeludupan dadah.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram