Syarikat China dominasi harga pasaran online, bimbang 'seller' lokal senasib peniaga Indonesia


  • Bizz
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Syarikat-syarikat dari China kini giat memperluaskan pengaruh mereka dalam pasaran e-dagang Malaysia dengan pendekatan yang berani dan teratur.

TIDAK dinafikan, seiring dengan perkembangan teknologi jualan secara dalam talian sememangnya menjadi suatu trend perniagaan yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat masa kini.

Malah dalam negara sendiri, permintaan untuk membeli barangan dan produk dari dalam luar negara secara dalam talian juga semakin meningkat.

Sehubungan itu, tidak hairanlah syarikat-syarikat dari China kini giat memperluaskan pengaruh mereka dalam pasaran e-dagang Malaysia dengan pendekatan yang berani dan teratur.

BACA LAGI: Bank sekat akses aplikasi perbankan terjejas 'high-risk malware', elak pengguna jadi mangsa penipuan

BACA LAGI: Tinggal berapa bulan saja lagi, Gen Z dan milenium bakal dominasi 70 peratus tenaga kerja di Malaysia

Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Zulariffin Md Maarof mendakwa, syarikat-syarikat dari China telah mula memasuki negara ini secara besar-besaran bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Beberapa syarikat China telah berpindah ke Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka. Mereka tidak lagi bergantung kepada pasaran offline tetapi lebih fokus kepada strategi dalam talian.

"Mereka turut mendirikan warehouse fulfillment (gudang) untuk menyokong operasi penjualan mereka di platform Shopee, Lazada, dan TikTok.

"Dengan menubuhkan warehouse untuk menyimpan stok di Malaysia, syarikat-syarikat ini dapat menjalankan TikTok live secara terus menerus dan memasarkan produk mereka melalui platform e-commerce, yang membolehkan mereka menjangkau lebih banyak pengguna pada kos yang lebih rendah," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Tambah Mohd Zulariffin yang juga merupakan usahawan dia sudah beberapa kali melawat beberapa kilang milik syarikat daripada China itu dan meluahkan rasa kagum.

"Di warehouse mereka, tingkat bawah dipenuhi dengan stok barang, manakala tingkat atas dijadikan bilik-bilik khusus untuk sesi live yang beroperasi 24 jam sehari.

"Taktik ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk mendominasi pasaran tempatan.

"Selain itu, mereka juga menggaji pekerja dalam jumlah yang besar untuk bertindak sebagai live host di TikTok," katanya.

Walaupun, pasaran e-dagang di Malaysia kini sedang berkembang dengan pesat, namun dasar-dasar kerajaan yang memberi laluan mudah kepada syarikat-syarikat China untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam negara akan membawa cabaran besar kepada peniaga tempatan, yang kini mula merasa terhimpit oleh persaingan yang semakin sengit.

Akibatnya, ramai peniaga tempatan mula terkesan dan mengeluh tentang kesukaran untuk menyaingi harga yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat luar ini.

Situasi ini mencetuskan kebimbangan tentang bentuk penjajahan ekonomi moden yang sedang berlaku, sama seperti yang dialami oleh peniaga kecil di negara jiran, Indonesia sehingga menyebabkan Presiden, Joko Widodo atau Jokowi menghalang sebarang transaksi jual beli di platform TikTok pada September 2023.

2654005

Peniaga tempatan perlu menjadi lebih kreatif untuk meluaskan sayap mereka ke pasaran luar negara yang lebih maju. — Gambar hiasan

Sehubungan itu, Mohd Zulariffin menggesa para peniaga tempatan untuk mengadaptasi perubahan ini dengan menjadi lebih pintar, menguasai teknologi terkini, dan sentiasa belajar perkara baharu.

"Apa yang kita perlu buat sebagai seller lokal (peniaga tempatan) kena menjadi lebih pintar, kuasai teknologi, belajar benda baharu setiap hari.

"Peniaga tempatan digesa untuk tidak hanya bergantung pada pasaran tempatan tetapi perlu meluaskan sayap mereka ke pasaran luar negara yang lebih maju.

"Ini termasuk menambah saluran baharu untuk memasarkan produk mereka, dengan harapan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tempatan dan terus bersaing di peringkat global," ujarnya.

Walaupun situasi itu menjadi satu cabaran besar kepada industri e-dagang di Malaysia, tetapi dalam masa yang sama, ia juga membuka peluang untuk peniaga tempatan mempertingkatkan daya saing mereka di pasaran yang lebih luas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram