Buat ucapan berkaitan peristiwa 13 Mei 1969, Azwanddin Hamzah dibebaskan pada Jumaat


Azwanddin (dua dari kiri) dibebaskan Mahkamah Majistret Ampang dari segala pertuduhan pada Jumaat.

AKTIVIS sosial dan politik, Datuk Azwanddin Hamzah yang dituduh membuat ucapan berkaitan Peristiwa 13 Mei 1969 yang didakwa boleh menyebabkan ketakutan kepada orang awam enam tahun lalu dibebaskan pada Jumaat.

Mengesahkan mengenai pembebasan itu adalah peguamnya, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

"Ya, beliau sudah dibebaskan Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi (Jumaat)," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

Untuk rekod Azwanddin yang juga bekas Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) didakwa membuat kenyataan ingin mengulangi peristiwa 13 Mei 1969 dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin mendorong ketakutan atau kegentaran kepada mana-mana orang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bilik media NTH Media, Tingkat 11, Menara A Pandan Capital, Pandan Indah dekat Ampang, Selangor, kira-kira pukul 2 petang, pada 21 November 2018.

Azwanddin menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mahkamah membenarkan Azwanddin diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin menetapkan 13 Mac 2021 sebagai sebutan semula kes.

Untuk rekod, sebutan semula kes terbabit berlangsung beberapa kali namun tidak mendapat liputan media.

Keputusan mahkamah dalam kes Azwanddin berhubung Peristiwa 13 Mei 1969 ditetapkan pada 9 Ogos 2024 (Jumaat) yang menyaksikan beliau bebas dari segala pertuduhan berkaitan kes berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram