Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati


Enam penuntut UPNM didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Zulfarhan pada tujuh tahun lalu.

MAHKAMAH Rayuan pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas mereka didapati bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan.

Hadhariah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun.

BACA LAGI: Kes kematian Zulfarhan: Bapa harap rayuan ditolak, keputusan penjara 18 tahun kekal

BACA LAGI: 'Tiada lagi gelak tawanya sambil isi beras dalam ketupat', bapa kongsi memori Syawal bersama Zulfarhan

Zukarnaian Idros,60, and wife Hawa Osman ,61, reacting after the Appeal court reinstates death penalty for six ex-UPNM sudents fatal  bullying case of their son Zulfarhan Osman Zulkarnain.at the Court of Appeal court  in Putrajaya.  (23/7/2024). —AZHAR MAHFOF/The Star

Ibu bapa Zulfarhan bersyukur hukuman gantung sampai mati dikembalikan kepada enam individu yang didapati bersalah membunuh anaknya.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hadhariah dalam prosiding yang berjalan lebih tiga jam, menyifatkan jenayah yang dilakukan terhadap Zulfarhan sebagai 'yang paling jarang berlaku' dengan turut mengambil kira perasaan yang dirasai oleh ibu bapanya.

"Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu bagaimana hati mereka hancur (dengan kejadian tersebut).

"Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT (orang kena tahan) iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan digantung sampai mati.

"Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak," katanya yang turut meminta kesemua enam tertuduh berdiri sebelum menjatuhkan hukuman.

zulfarhan2

Gambar kenangan Allahyarham Zulfarhan bersama ibu dan bapanya.

Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun.

Kesemua 12 tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

"Dalam kes ini, kami sebulat suara mendapati faktor-faktor yang memberatkan hukuman mengatasi faktor-faktor peribadi tertuduh.

"Pada hemat kami, hukuman yang wajar ialah empat tahun penjara. Oleh itu hukuman penjara tiga tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun dari tarikh sabitan," ujarnya.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram