Kes kematian Zulfarhan: Bapa harap rayuan ditolak, keputusan penjara 18 tahun kekal


  • Massa
  • Selasa, 23 Jul 2024

Walaupun tujuh tahun sudah berlalu, namun kisah tragis yang menimpa Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak pernah padam daripada ingatan.

WALAUPUN tujuh tahun sudah berlalu, namun kisah tragis yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak pernah padam daripada ingatan.

Apatah lagi, sebagai seorang bapa, Zulkarnain Idros menganggap kehilangan cahaya mata sulungnya meninggalkan impak yang besar buat mereka sekeluarga.

Justeru tidak salah untuk dia masih menyimpan harapan agar pelaku-pelaku yang meragut nyawa anaknya itu menerima hukuman yang setimpal.

BACA LAGI : 'Tolong jangan nyanyi lagu itu', ayah Zulfarhan kecewa pegawai UKM 'sama naik' menganjing UPNM

BACA LAGI : 'Tiada lagi gelak tawanya sambil isi beras dalam ketupat', bapa kongsi memori Syawal bersama Zulfarhan

"Saya berharap agar hukuman yang dikenakan sama ada akan menjadi lebih berat seperti hukuman penjara seumur hidup atau hukuman ketika ini dikekalkan.

"Kita tunggu keputusan mahkamah macam mana nanti," katanya kepada Majoriti.

Dia turut meluahkan rasa terkilan terhadap pihak yang terlibat seolah-olah bersikap acuh tidak acuh dengan kematian anaknya itu.

"Mungkin mereka sendiri pun sudah lupa dengan tragedi yang menimpa anak saya. Hanya wartawan sahaja yang menghubungi saya selama ini," ujarnya.

128158371_3759127027473566_9113171562721183669_n

Kenangan Zulkarnain bersama arwah anaknya, Zulfarhan yang tetap kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.

Untuk rekod, keputusan rayuan enam bekas penuntut UPNM yang dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, akan diketahui di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.

Keenam-enam mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keputusan sama ada mereka kekal dipenjara 18 tahun atau sebaliknya akan ditentukan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

1353815

Enam penuntut UPNM didapati bersalah menyebabkan mencederakan tanpa niat membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu. — Gambar fail

Mereka merayu agar sabitan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mencederakan tanpa niat membunuh Zulfarhan, digantikan kepada Seksyen 330 kanun sama iaitu kesalahan mencederakan dengan hukuman maksimum penjara tujuh tahun sahaja.

Sekiranya mahkamah mengekalkan hukuman bagi Seksyen 304(a), mereka mohon hukuman penjara daripada 18 tahun dikurangkan kepada 12 tahun.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah pada Selasa juga akan menyampaikan keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun, supaya mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Mereka adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram