LANGKAH berani dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas memasuki program matrikulasi tanpa mengira kaum, mengundang pelbagai reaksi dan perdebatan masyarakat.
Lebih parah apabila segelintir pihak mula memainkan sentimen perkauman ekoran kuota Bumiputera yang dikatakan akan berkurangan dek kerana pengumuman tersebut.
Rata-ratanya meluahkan kerisauan terhadap masa depan anak Melayu yang dijangka menerima saingan sengit jika kuota matrikulasi itu dibuka kepada kaum lain.
BACA LAGI: Rombak silibus sains, matematik bermula Tahun 4 atau negara 'hilang' doktor pakar — NUTP
BACA LAGI: 'Berapa ramai ambil 10 subjek?', syarat keputusan SPM 10A masuk matrikulasi dilabel pilih kasih
Namun, pertikaian itu disangkal Pengerusi Majlis Amanah (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meyifatkan ia hanyalah satu isu kecil yang perlu dirisaukan dalam sektor pendidikan negara.
Jelasnya, terdapat perkara yang lebih penting perlu menjadi keutamaan negara iaitu jumlah lepasan SPM yang gagal dan golongan tercicir yang tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
"Yang patut dirisaukan lebih 280,000 yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit. Mereka ini yang tercicir dan tidak layak masuk matrikulasi.
"Itu tidak termasuk 10,160 yang tidak hadir SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 secara purata setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil SPM," katanya di laman Facebook pada Isnin.
Pelajar lepasan SPM perlu meraih keputusan sekurang-kurangnya 10A untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.
Tambahnya, program Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara merupakan alternatif dan solusi kepada isu berbangkit.
Menerusi TVET, golongan pelajar yang gagal SPM juga mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sama seperti di program matrikulasi.
"Hari ini negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja.
"Malah dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, pelajar boleh sambung peringkat diploma, manakala SKM tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM.
"Malah, MARA sendiri punya insitusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hinggalah UniKL," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan pembukaan kemasukan ke matrikulasi.
Jelasnya, walaupun langkah itu memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota Bumiputera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram