KERAJAAN baru-baru ini memutuskan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas, bakal diberikan ruang melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Keputusan itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.
Bagaimanapun, langkah itu mengundang kritikan segelintir masyarakat yang menyifatkan ia sebagai situasi 'pilih kasih' berhubung sistem pendidikan negara.
BACA LAGI: Rombak silibus sains, matematik bermula Tahun 4 atau negara 'hilang' doktor pakar — NUTP
BACA LAGI: Kelas terapung bukan tak okey tapi tengok kesesuaian fasiliti elak mudaratkan murid — KGMMB
Meskipun peluang tersebut disambut baik sebahagian besar pelajar dan tenaga pengajar di peringkat menengah, namun syarat keputusan 10A ditetapkan mencetuskan sedikit perbalahan dalam kalangan segelintir masyarakat.
"Adakah 10A ke atas baru boleh masuk matrikulasi? Boleh dikira dengan jari berapa ramai budak yang ambil 10 subjek atau lebih, selepas ambil begitu banyak subjek yang membebankan, diminta pula dapatkan semua A.
"Sangat mendukacitakan, menyedihkan, bertambah memalukan apabila dalam sistem pendidikan pun ada sikap pilih kasih dalam memberikan pendidikan sama rata kepada semua kaum sehingga ke peringkat universiti.
"Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa telah memerdekakan Tanah Melayu, memajukan negara dalam semua bidang terutamanya kesihatan dan pendidikan, menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi namun sering terkesan akibat politik kotor oleh pihak tertentu," kata Baljeet Singh.
Pelajar lepasan SPM perlu meraih keputusan sekurang-kurangnya 10A untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.
Dalam pada itu, seorang warga maya menyifatkan pencapaian 10A bukan satu keputusan yang mudah dicapai, sebaliknya setiap penduduk perlu diberikan pendidikan sama rata bagi membolehkan negara maju.
"Keputusan 10A bukan senang boleh dapat, pelajar yang dapat tidak kira bangsa janji rakyat Malaysia perlu diberikan peluang, kerajaan berilah pendudukan sama rata, ia akan menyumbang kepada pegawai-pegawai yang betul mahir dalam jawatan masa akan datang.
"Apabila semua diberikan peluang maka kuranglah rakyat yang bekerja di luar negara, biar mereka berkhidmat untuk negara kita," ujar Vasantha Kumar.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan pembukaan kemasukan ke matrikulasi.
Jelasnya, walaupun langkah itu memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota Bumiputera.
Pada masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga memaklumkan, semua lulusan SPM 2023 yang memperoleh keputusan 10A ke atas, namun tidak mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA), ditawarkan tempat sewajarnya.
Katanya, KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama mengenal pasti kumpulan pelajar terbabit.
“Mungkin mereka tidak mendapat tempat di matrikulasi tetapi mereka boleh dapat program asasi di UA (universiti awam). Saya fikir sekarang ialah tempoh untuk penyesuaian, sama ada mereka dapat kedua-duanya atau biasiswa. Mereka perlu memilih satu.
“Kami percaya kami tidak mempunyai banyak isu untuk memudahkan pelajar-pelajar tersebut dengan 10A dan ke atas kerana tempat di universiti di bawah program asas serta matrikulasi mencukupi untuk menampung bilangan pelajar yang mendapat 10A dan ke atas,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram