Nasib lebih 280,000 lepasan SPM gagal, lulus tanpa kredit lebih wajar dirisaukan


  • Primer
  • Isnin, 01 Jul 2024

SPM dianggap sebagai kemuncak perjalanan setiap pelajar di alam persekolahan. — Gambar hiasan

MASA depan lebih 280,000 calon yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau hanya lulus tanpa kredit dalam mana-mana mata pelajaran perlu difikirkan, berbanding kuota Bumiputera di pusat matrikulasi.

Jumlah calon gagal itu belum termasuk 10,160 calon yang tidak hadir SPM dan purata lebih 30,000 murid setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil peperiksaan itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, nasib golongan pelajar tersebut perlu mendapat perhatian agar masa depan mereka juga lebih terjamin.

BACA LAGI: 'Berapa ramai ambil 10 subjek?', syarat keputusan SPM 10A masuk matrikulasi dilabel pilih kasih

BACA LAGI: ‘Job fair’ jadi platform selamat cari kerja, tak janjikan tawaran serta-merta

“Ramai risau bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum semua lepasan SPM dengan 10A layak masuk Matrikulasi tanpa kira kaum, sedangkan beliau hanya memberikan jaminan yang sememangnya dilaksanakan sejak dulu lagi. Bahkan, kuota Bumiputera untuk masuk ke Pusat Matrikulasi tetap kekal terjamin.

“Apa yang patut dirisaukan adalah lebih 280,000 yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit. Mereka ini yang tercicir dan tidak layak masuk matrikulasi,” katanya melalui Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik.

Katanya, kuota itu tetap dikekalkan kerana itu termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi jawapan kepada hala tuju lepasan SPM yang gagal dan tidak mendapat tempat di Pusat Matrikulasi.

Katanya, Dasar TVET Negara diwujudkan, dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian, yang menawarkan lebih 4,000 bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

Beliau berkata, MARA juga mempunyai institusi TVET terbanyak, dengan 270 institusi, termasuk GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) sehingga Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Hari ini, negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM saja sebagai syarat minimum untuk bekerja.

“Dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, pelajar boleh sambung (pengajian) peringkat diploma, manakala SKM Tahap 4 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram