SEORANG wanita dilaporkan maut dipercayai lemas dibawa arus deras manakala 10 buah sekolah ditutup selepas laluan jalan ditenggelami air akibat banjir yang melanda enam daerah di pantai barat Sabah pada Isnin.
Kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan Kota Kinabalu-Tambunan, Sabah turut memutuskan hubungan ke kawasan pedalaman berikutan banjir sejak Ahad lalu.
Setakat pukul 4 petang Isnin, seramai 328 orang dari Penampang, Tuaran dan Tamparuli telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Banjir kilat kali ini lebih buruk', banyak mangsa tempuh detik cemas di Johor
Kawasan lain yang terjejas ialah pinggir bandar Inanam, Manggatal dan Telipok, serta daerah Sipitang dan Putatan, Sabah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima lebih 200 panggilan kecemasan, terutamanya daripada mangsa yang terperangkap di kediaman mereka.
Di Penampang, seorang penghantar makanan wanita dihanyutkan arus deras pada Ahad malam selain enam buah sekolah di daerah terbabit telah ditutup akibat banjir.
Enam sekolah berkenaan adalah SK Sugut, SMK St Michael, SK St Theresa Inobong, SK Kibabaig, SK St Joseph dan SJKC Yue Min.
Laluan jalan raya dinaiki air akibat banjir yang melanda di enam buah daerah Sabah.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, SK Kelatuan di Papar, SJKC Sin Boon Sindumin di Sipitang serta SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa Tenghilan di Tuaran juga telah pun ditutup.
Seramai 5,077 pelajar dan 307 guru terjejas akibat penutupan itu, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Mohd Yaakob Jaafar berkata, bekalan elektrik ke kawasan banjir yang ditutup atas faktor keselamatan kini sedang dipulihkan.
Dalam pada itu, pakar meteorologi meramalkan cuaca hujan dengan ribut petir akan berterusan di beberapa kawasan termasuk Penampang, Tuaran, Papar dan Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, pasukan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya telah digerakkan sepenuhnya ke lokasi terbabit.
Bencana banjir itu telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit dengan mangsa dari Penampang, Manggatal dan Inanam mendakwa, barangan rumah seperti perabot, peralatan elektrik dan lain-lain telah rosak sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bantuan tunai RM1,000 untuk setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, sambil menambah bahawa kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan bantuan bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah.
Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera bagi memastikan longkang dibersihkan. — The Star/MUGUNTAN VANAR/DURIE RAINER FONG/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram