TREN penurunan jumlah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menduduki subjek aliran Sains dan Matematik mencetuskan kerisauan dalam kalangan masyarakat negara.
Berdasarkan hasil analisis dijalankan Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC) mendapati bahawa, trend penurunan itu meliputi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Sebanyak 17.37 peratus penurunan direkodkan bagi subjek Matematik Tambahan pada 2023 berbanding 2018.
Ia sekali gus merungkai betapa pelajar sekolah kini semakin kurang berminat dengan dua aliran berkenaan berbanding mata pelajaran lain yang dikatakan lebih menjamin masa depan.
BACA LAGI: Kelas terapung bukan tak okey tapi tengok kesesuaian fasiliti elak mudaratkan murid — KGMMB
BACA LAGI: 'Kelas terapung' atasi masalah kepadatan pelajar — Fadhlina
SPM 2023 mencatatkan penurunan jumlah pelajar dalam aliran Sains dan Matematik.
Mengulas lanjut hal itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon menyifatkan ia sebagai situasi getir dihadapi negara dengn kepakaran dalam bidang kedoktoran khususnya akan semakin berkurang jika tiada tindakan drastik dilakukan.
Jelasnya, silibus pelajaran di peringkat rendah perlu dirombak dan ditambah baik sekiranya ingin membaiki draf penurunan tersebut.
"Isu ini bermula di peringkat sekolah rendah lagi, sepatutnya subjek sains dan matematik perlu dirombak dan diperbaiki seawal tahun empat supaya minat mereka dipuouk sejak kecil.
"Kalau dah naik peringkat menengah baru nak diubah silibus dan ditambah baik sebagainya, ia dah terlambat.
"Bukan sahaja pelajar yang susah, malah guru pun terkesan dengan situasi ini apabila sistem pembelajaran diterapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terlampau padat dan sukar diterima pelajar," katanya kepada Majoriti.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon
Dalam pada itu, Fouzi turut meluahkan kerisauan terhadap industri perubatan negara.
Jelasnya, bidang kedoktoran khususnya akan semakin berkurangan dan tenaga kerja dalam bidang sains akan dikuasai orang asing secara tidak langsung mengundang kerugian kepada negara.
"Bila kita kehilangan tenaga tempatan, maka pelabur asing juga akan takut untuk datang dan melabur di Malaysia.
"Mereka akan fikir kita sebagai negara yang gagal kerana tidak mampu menghasilkan tenaga kerja dalam bidang perubatan, sudahnya kerajaan rugi, rakyat pun merana.
"Perubahan drastik perlu dilakukan pada peringkat sekolah rendah atau kita hilang segalanya satu hari nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram