MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya pada Isnin mengenakan bon berkelakuan baik selama setahun ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam bagi kesalahan menghina mahkamah membabitkan isu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan, membenarkan rayuan Lokman Noor untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan selepas beliau memohon maaf secara terbuka.
Jelasnya, mahkamah mempertimbangkan kekesalan yang dinyatakan oleh perayu dan aku janji dibuat bahawa dia tidak akan mengulangi kelakuan sedemikian.
BACA LAGI: MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib isu tahanan rumah
BACA LAGI: Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah Mansor perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai
Hakim juga berkata, berdasarkan rekod rayuan dan penghakiman yang diputuskan mahkamah, kegagalan perayu untuk segera mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan kekesalannya menyumbang kepada hukuman yang dikenakan.
"Kami juga telah mempertimbangkan fakta bahawa pengeluaran permohonan maaf itu sendiri tidak membebaskan penghina dalam setiap kes. Namun, ia memberi kesan kepada hukuman yang bakal dikenakan.
"Justeru, kami memerintahkan supaya hukuman penjara sebulan diketepikan dan digantikan dengan ikatan berkelakuan baik selama tempoh setahun, bermakna sekiranya perayu mengulangi penghinaan itu, maka dia akan dipanggil semula mahkamah dan dijatuhkan hukuman kerana melanggar bon tersebut," kata Hakim Nallini.
Terdahulu, Lokman dalam satu temu bual didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ancaman dan ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram