[VIDEO] Tak lepas memotong, penunggang superbike putus badan kena gilis treler di Pulau Pinang


  • 112
  • Selasa, 02 Jul 2024

Seorang penunggang lelaki dilaporkan maut akibat digilis treler di Kilometer 161.4 Lebuh raya Utara Selatan, Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.

GAGAL memotong lori punca seorang penunggang lelaki maut digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 161.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Bandar Casia, Pulau Pinang pada Isnin.

Insiden yang berlaku kira- kira pukul 6.45 petang itu, mangsa, Amirruddin Ghazali, 38, berasal dari Kampung Lubuk Kawah, Jitra, Kedah dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut Malaysia Gazette, laporan kemalangan diterima pukul 7 malam dan hasil siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R25 dipercayai cuba memotong sebuah lori namun bergesel dengan sebuah treler lain di laluan sama.

BACA LAGI: [VIDEO] Saksi sayu, suami tersepit kemalangan jatuh gaung di Kulim, panggil isteri maut berkali-kali tidak menyahut

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan mati, lelaki ditemui terbaring mulut ternganga hanya mabuk — Saksi

Mangsa yang gagal memotong dilaporkan terbabas, lalu digilis treler berkenaan.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman sosial dan hangat diperkatakan warganet sejak Isnin.

"Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 53 tahun tidak mengalami kecederaan," kata sumber polis.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus, kering serta keadaan cuaca juga baik.

"Kawasan kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), justeru pihak polis meminta saksi awam yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat berhubung kemalangan tersebut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram