KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan konsep 'kelas terapung' di seluruh negara.
Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor berkata, kelas terapung antara inisiatif terbaik dengan mewujudkan kelas atau bilik darjah khas bagi mengatasi kesesakan pelajar ketika ini.
Menurutnya, ia perlu wujud bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terganggu dan murid tidak ketinggalan.
Bagaimanapun, Juhari mengakui pelaksanaan tersebut bukanlah penyelesaian jangka panjang yang sesuai diambil bagi menangani sekolah yang mempunyai pelajar berkepadatan tinggi.
"Kami memahami keperluan untuk mewujudkan 'kelas terapung' tetapi sekiranya ia dibuat untuk tempoh masa yang lama, ia tidak sesuai untuk murid.
"Memang ia bagus untuk dilaksanakan, namun untuk tempoh jangka panjang, akan memudaratkan murid sendiri," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Kelas terapung' atasi masalah kepadatan pelajar — Fadhlina
Presiden KGMMB, Juhari Mohamad Nor
Mengulas lanjut, Juhari berkata, harus diingatkan bahawa 'kelas terapung' bergantung kepada fasiliti dan kemampuan pentadbiran sekolah terbabit.
"Mungkin ada sesetengah sekolah yang mempunyai fasiliti yang tidak sesuai atau keadaan persekitaran yang tidak mesra pelajar.
"Contohnya di ruang kantin atau tapak perhimpunan, fasiliti itu tidak sesuai sebenarnya dengan keadaan yang panas ketika ini.
"Lama-kelamaan pelajar atau murid itu sendiri akan cepat bosan sekali gus tidak menunjukkan minat dalam PdP," jelas beliau.
Sehubungan itu, Juhari Mohamad berharap agar KPM menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
Langkah mewujudkan konsep 'kelas terapung' adalah bertujuan mengatasi masalah kepadatan di sekolah.
BACA LAGI: Letupan bom di Sungai Golok sah tidak libatkan penduduk Malaysia — Polis
Katanya, mungkin dalam perancangan masa depan, kementerian boleh meletakkan syarat dengan pemaju membina sebuah sekolah sekiranya mereka ingin membuat atau membina kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
"Pada masa sama, KPM juga boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri membina bangunan atau sekolah baharu di sesetengah tempat.
"Ia sebenarnya bukan sahaja memudahkan ibu bapa tetapi juga dapat membantu menyelesaikan masalah mempunyai pelajar berkepadatan tinggi," jelasnya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan konsep 'kelas terapung' di seluruh negara diwujudkan KPM bagi menangani sekolah yang mempunyai pelajar berkepadatan tinggi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelas terapung itu antara inisiatif terbaik dengan mewujudkan kelas atau bilik darjah khas bagi mengatasi kesesakan pelajar.
"Penggunaan fasiliti sekolah akan dioptimumkan sebaik mungkin pihak sekolah seperti makmal, bengkel, bilik bahasa dan bilik kesihatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram