Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga


  • Massa
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Syarikat pengangkutan seperti pengusaha bas eskpres mampu menawarkan harga tiket berpatutan kepada pengguna.

PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan untuk memastikan tiada kenaikan harga yang mendadak berlaku berikutan penyasaran subsidi diesel meliputi sektor logistik dan pengangkutan awam.

Seperti kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, "Jika kita sokong sektor ini, tidak ada alasan untuk menaikkan harga barang."

Sebanyak 23 jenis kenderaan digunakan untuk mengangkut barang penghantaran dan kerajaan menyokong sektor logistik tersebut menerusi pemberian subsidi bahan api diesel.

BACA LAGI: ‘Kalau takut tak mampu bayar diesel, mohon Budi Madani bukan jual kereta’

BACA LAGI: Sejuta 'fleet card' disediakan sebelum pelaksanaan kawalan subsidi diesel — Menteri

Di bawah SKDS 2.0, syarikat pengangkutan seperti pengusaha bas eskpres misalnya masih mampu menawarkan harga tiket berpatutan kepada pengguna.

Harga tambang bas sekolah juga tidak akan dinaikkan oleh pengusaha sekali gus melegakan golongan ibu bapa daripada dibebani kenaikan kos pengangkutan anak masing-masing.

Ketika ini harga diesel pengangkutan awam seperti bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas mini dan bas pengantara serta teksi ditetapkan pada RM1.88 seliter.

Bus driver Kee Kean Eng cleaning his school bus after a long break ahead of school reopening at Paya Terubong, Penang.(January 6, 2021). — CHAN BOON KAI/ The Star

Kadar harga subsidi diesel yang dinikmati pengusaha bas sekolah ketika ini dapat dikekalkan supaya tambang tidak terjejas.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia berkata, sekiranya kadar berkenaan tidak berubah maka tambang bas juga tidak akan mengalami peningkatan.

Kenyataan sama turut disuarakan Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) yang berharap kadar harga subsidi diesel yang dinikmati pengusaha bas sekolah ketika ini iaitu RM1.88 seliter dapat dikekalkan supaya tambang tidak terjejas.

Tidak ketinggalan bas ekspres yang menyatakan komitmen mahu meneruskan kesinambungan perkhidmatan dengan pengekalan harga tambang agar impaknya turut memberi kesan yang baik kepada pihak terlibat.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail berkata, usaha kerajaan menyenaraikan pengusaha bas ekspres sebagai penerima subsidi diesel bersasar merupakan langkah tepat.

"Diesel merupakan elemen dan keperluan utama dalam industri bas ekspres. Semua pengusaha bas ekspres di Malaysia masih menggunakan enjin yang menggunakan diesel sebagai bahan api. Kadar penggunaan diesel untuk pengusaha bas adalah sangat tinggi.

2692763

Laili berkata, usaha kerajaan menyenaraikan pengusaha bas ekspres sebagai penerima subsidi diesel bersasar merupakan langkah tepat.

"Oleh itu, pemberian harga subsidi diesel kepada pengusaha bas sangat diperlukan bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan bas ekspres yang pastinya akan turut memberi kesan yang baik kepada pihak terlibat," kata Laili.

Tambahnya, inisiatif itu bukan hanya membantu golongan pengusaha bas ekspres, malah turut menyuburkan industri pengangkutan yang lain.

Bas-bas awam yang beroperasi dalam bandar dan antara bandar juga mendapat manfaat daripada subsidi diesel, membantu mengekalkan kos pengangkutan yang rendah untuk pengguna harian dan penumpang jarak jauh.

Secara keseluruhannya, subsidi diesel memainkan peranan penting dalam memastikan tambang bas di Malaysia kekal rendah dan berpatutan, memberikan manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi negara.

Tidak hanya terhad kepada kenderaan pengangkutan awam, sektor menggunakan diesel tidak bersubsidi seperti syarikat pemaju hartanah menyatakan jaminan bahawa mereka tidak terjejas dengan rasionalisasi subsidi bahan api itu.

news05april2022

MRCB secara konsisten menggunakan bahan api diesel pada kadar komersial untuk semua projek pembangunan dan pembinaannya.

Contohnya Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang menjangkakan rasionalisasi subsidi diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kosnya.

"MRCB secara konsisten menggunakan bahan api diesel pada kadar komersial untuk semua projek pembangunan dan pembinaannya, termasuk yang diuruskan oleh subkontraktor.

"Oleh itu, pemansuhan subsidi bahan api diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kos kami," katanya dalam kenyataan.

Begitu juga dengan TH Properties Sdn. Bhd sebagai pemaju hartanah yang optimis bahawa perniagaannya tidak terjejas daripada langkah rasionalisasi subsidi diesel.

Syarikat itu yakin dapat terus mempertahankan margin keuntungan memandangkan TH Properties dan kontraktor yang dilantik mereka mendapatkan diesel tanpa subsidi pada kadar komersial untuk operasi, yang tidak dipengaruhi oleh subsidi kerajaan.

bandar-enstek-sales-gallery-1-scaled

TH Properties yakin dapat terus mempertahankan margin keuntungan.

“Pendekatan ini mengurangkan pergantungan kepada bahan api bersubsidi dan melindungi syarikat daripada turun naik dalam dasar subsidi," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin dilaporkan berkata, kenaikan harga barang tidak sepatutnya berlaku kerana sektor pengangkutan komersial tidak menerima kesan di sebalik pelaksanaan rasionalisasi diesel.

“Tiada alasan untuk sektor pengangkutan nak salurkan kadar (harga diesel) kepada pengguna kerana hampir semua sektor pengangkutan komersial tidak terkesan,” katanya.

Tambahnya lagi, pengguna juga harus memainkan peranan dengan menyalurkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

"Kita perlu mendidik pengguna dengan memperkasakan kesedaran agar mereka memahami bahawa bukan semua rasionalisasi subsidi akan berakhir dengan pengguna menanggung beban." ujarnya.

Jika ada syarikat yang menaikkan harga atas alasan penarikan subsidi, pengguna boleh melaporkannya kepada pihak berwajib atau beralih kepada peniaga dan produk lain.

Pengguna boleh membuat aduan kepada kementerian atau melalui Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan, yang mengendalikan aduan untuk 23 sektor, di www.nccc.org.my.

Bagi membuat permohonan pembelian diesel pula, individu/ syarikat dengan melayari laman web mysubsidi.kpdnhep.gov.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram