Penganjur jamin pasang jaring elak ikan asing terlepas — DOF


  • Massa
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Aktiviti pelepasan ikan di Tasik Biru Kundang, Rawang, Selangor bersempena program Pertandingan Memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang akan diadakan pada Sabtu

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) memulakan siasatan bagi mengenal pasti pihak terlibat dalam aktiviti pelepasan ikan asing di Tasik Kundang, Rawang, Selangor yang tular sejak Rabu.

Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, tindakan dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu menimbulkan kebimbangan kerana ikan asing tersebut berpotensi mengganggu ekosistem tasik.

Menurut beliau, kebanyakan spesies ikan dari luar mempunyai kemampuan dari segi tahan lasak terhadap penyakit, iklim dan perubahan parameter selain daripada ianya mudah membiak dalam ekosistem tropika.

BACA LAGI: Pesawat ringan mendarat cemas di Pelabuhan Klang ada masalah enjin, 2 juruterbang selama

BACA LAGI: Gagal elak lori terbabas, wanita alami keguguran dalam nahas 3 kenderaan di JB

"Pelepasan ikan asing boleh menyebabkan kepupusan spesies tempatan kerana persaingan untuk makanan dan habitat. Selain itu, ia juga boleh menyebarkan penyakit kepada populasi ikan tempatan.

"Disebabkan itu, pihak DOF telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti pihak terlibat dalam pelepasan ikan asing ini. Langkah-langkah kawalan dan pemantauan sedang diperkukuhkan untuk mengelakkan kejadian sama berulang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Adnan turut menasihatkan orang awam untuk untuk tidak terlibat dalam pelepasan ikan asing di mana-mana kawasan air tawar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut, beliau meminta orang ramai untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Orang awam diminta untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan Jabatan terlebih dahulu jika mempunyai hasrat melepaskan ikan di perairan umum. Satu garis panduan berkaitan pelepasan ikan ke perairan umum oleh orang awam," katanya.

Terdahulu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar memaklumkan bahawa penganjur program Pertandingan Memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang tular terbabit sudah memberi jaminan pihaknya akan memasang jaring pada laluan air keluar dari tasik bagi mengelakkan ikan asing terlepas ke perairan umum.

Noraisyah berkata, penganjur turut mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program.

Menurut beliau, kerjasama antara DOF dan agensi lain akan dilakukan bagi program-program mengeluarkan spesis ikan asing daripada tasik.

Majoriti sebelum ini melaporkan, tindakan sekumpulan individu melepaskan ikan ke dalam sungai dalam satu majlis pelepsan ikan pada Rabu mendapat kecaman ramai.

Ini kerana ada beberapa spesies ikan yang dilepaskan itu dipercayai boleh menjejaskan ekosistem perairan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram