KONSORTIUM Impak Kelestarian Asia ESG (A -EPIC) dilancarkan secara rasmi pada Jumaat terdiri daripada tiga rakan media berpengaruh, Star Media Group (SMG), Kumpulan Media Kompas Gramedia (KG Media) Indonesia dan Kumpulan Syarikat Inquirer dari Filipina.
Dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, konsortium itu menyasarkan usaha dalam mempromosikan komitmen alam sekitar, sosio-ekonomi dan tadbir urus yang progresif untuk kemakmuran masa depan di seluruh rantau Asia.
Usaha itu dipandu oleh tiga strategi utama yang menumpukan kepada sektor pendidikan, penglibatan dan komuniti yang akan diterajui oleh setiap kumpulan media iaitu StarESG, KG Media Lestari dan Inquirer ESG Edge.
BACA LAGI: Tiga kuasa media Asia perluas liputan prinsip ESG bantu capai pelepasan sifar bersih menjelang 2050
BACA LAGI: Konsortium Impak Kelestarian Asia komitmen 3 negara langkah tepat — PM Anwar
Turut hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
A-EPIC akan terus mengambil langkah untuk memastikan penyebaran maklumat mengenai alam sekitar tepat.
Dalam pada itu, setiap negara akan melaksanakan inisiatif tersendiri bagi menyatakan sokongan terhadap visi tersebut.
Ia termasuk Anugerah Impak Positif ESG tempatan untuk Malaysia, Anugerah Impak Tahunan Filipina dan Anugerah Lestari Indonesia.
Pemenang daripada acara ini akan bersaing di peringkat Asia dalam Anugerah Impak Positif Asia ESG yang berprestij.
Selain itu, konsortium itu turut memanfaatkan platformnya untuk melancarkan bengkel kepimpinan, sidang kemuncak tempatan dan kandungan editorial untuk meningkatkan kesedaran serta mendidik prinsip pengetahuan.
Bagi memastikan usaha tersebut berjaya dikecapi, majlis tersebut turut mengumumkan Sime Darby Property Berhad sebagai Rakan Kongsi Biodiversiti Bandar untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
Biodiversiti bandar adalah penting bagi kesihatan alam sekitar dan memberi kesan kepada semua bentuk kehidupan.
Oleh yang demikian, pemaju hartanah berhasrat untuk mendidik dan menunjukkan kepentingan biodiversiti bandar melalui usaha yang dipandu oleh tiga teras iaitu pencegahan, pemuliharaan dan penjanaan semula.
Susulan kerjasama itu, Sime Darby Property berharap agar dapat meningkatkan kesedaran tentang biodiversiti bandar dan komited untuk memupuk kewujudan harmoni antara bandar dan alam semula jadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram