[VIDEO] Sabah Sarawak dah lama buat tapi ada sebab konsep niaga 'based on trust' tak boleh pakai di Semenanjung


  • Bizz
  • Isnin, 13 Mei 2024

Penduduk di kebanyakan kawasan di Sabah dan Sarawak berani menjalankan bisnes tanpa penjaga di pondok atau stesen kecil yang di tepi jalan raya.

PERKONGSIAN video mengenai sebuah gerai di Australia yang urusan jual belinya dijalankan secara layan diri menarik perhatian warga maya.

Rakaman yang dimuat naik seorang pengguna TikTok @hanadiaussie menunjukkan gerai menjual buah-buahan dan sayur-sayuran dibuka tanpa pengawasan penjual.

Lebih menarik, mereka yang berhasrat untuk membelinya hanya perlu meletakkan wang ke dalam tabung yang disediakan.

BACA LAGI: Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’

BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga

Meskipun situasi itu jarang dilihat di Semenanjung Malaysia, ternyata ramai yang tidak tahu kebanyakan peniaga di Sabah dan Sarawak sudah lama mengaplikasikan konsep layan diri seperti itu.

Ia boleh dilihat ketika anda melancong atau berjalan di kawasan luar daerah yang mana penduduk kampung hanya meninggalkan barang dagangan di pondok atau stesen kecil yang dibuat di tepi jalan raya.

Selain itu, antara produk lain yang dijual termasuk hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Terdapat segelintir individu yang mempersoalkan mengapa kaedah jualan berkonsepkan based on trust seperti itu agak jarang dilihat di Semenanjung Malaysia?

Jika dinilai secara umumnya, terdapat beberapa punca yang menyumbang ke arah situasi itu.

Di sini Majoriti senaraikan tiga faktor perniagaan tanpa pengawasan penjual atau penjaga sukar dilaksanakan oleh peniaga di Semenanjung?

1. Kadar jenayah di Semenanjung masih tinggi

Kadar jenayah di Semenanjung semakin meningkat saban tahun. — Gambar hiasan

Peningkatan kadar jenayah di Semenanjung Malaysia saban hari menyebabkan agak sukar untuk peniaga meninggalkan kios mereka tanpa sebarang pengawasan manusia.

Berbeza dengan di Sabah dan Sarawak yang mencatatkan kadar jenayah lebih rendah.

Pada tahun 2023, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pernah memaklumkan, keadaan jenayah di Sarawak pada umumnya masih berada di tahap rendah dan terkawal.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu, sebanyak 3,281 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 3,312 kes pada tempoh sama pada tahun lalu, yang jelas menunjukkan penurunan sebanyak 31 peratus.

Tidak hanya Sarawak, Sabah juga merupakan antara negeri yang merekodkan kadar jenayah paling rendah.

Jadi, tidak hairanlah banyak kawasan di negeri itu yang berani sahaja meninggalkan tapak niaga mereka tanpa pengawasan.

2. Kebanjiran warga asing

1

Lambakan warga asing di Semenanjung menjadi antara faktor peningkatan kadar jenayah.

Lambakan warga asing di Semenanjung menjadi antara faktor peningkatan kadar jenayah secara drastik terutamanya dalam situasi ekonomi yang agak mencabar ketika ini.

Bukan sekali dua negara dilaporkan dengan berita warga asing memecah masuk dan mencuri barangan serta wang tunai hasil jualan premis tertentu.

Berdasarkan laporan Sinar Harian yang disiarkan pada 15 Oktober 2019, kadar jenayah melibatkan warga asing merekodkan jumlah 42,451 kes pada tahun 2016 sehingga Ogos 2019.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak 12,647 kes dicatatkan adalah dari kes curi, 11,862 kes dari pecah rumah dan 4,822 kes dari kes curi motosikal.

Golongan itu juga dilihat kebal dan tidak takut dengan tindakan undang-undang yang bakal dihadapi mereka.

Ada kalanya situasi menjadi terbalik apabila terdapat segelintir rakyat Malaysia sendiri yang berasa takut apabila untuk berniaga di 'kawasan' mereka disebabkan kadar jenayah yang tinggi.

3) Skop perniagaan/jenis perniagaan

2

Antara gerai di Sabah yang mengaplikasikan konsep perniagaan layan diri.

Lokasi perniagaan juga menjadi salah satu faktor peniaga berani meninggalkan barangan dagangan mereka begitu sahaja.

Perniagaan seperti itu sukar dilaksanakan di bandar-bandar besar atas faktor keselamatan walaupun premis perniagaan tersebut dilengkapi dengan teknologi moden seperti kamera litar tertutup (CCTV).

Ini kerana kadar kemiskinan di bandar jauh lebih tinggi dan mungkin akan menyebabkan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mengambil barangan yang dijual tanpa membayarnya terlebih dahulu.

Keadaan itu juga berkemungkinan akan mengundang individu yang tidak jujur apabila ada yang cuba membayar barangan tertentu dengan harga tidak sepatutnya.

Agak sukar menjalankan perniagaan yang berasaskan self-service sedangkan mesin layan diri pun dicuri, apatah lagi perniagaan seperti itu.

Malah, persaingan di luar bandar juga tidak seaktif di bandar kerana kebanyakannya menjual hasil kebun sendiri tanpa mengeluarkan modal yang besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram