Pecat 'kepala' PBT jika isu peniaga warga asing masih berlarutan


  • Massa
  • Ahad, 23 Jun 2024

Peniaga warga asing menganggap mereka tidak akan mengalami kerugian yang besar meskipun penguat kuasa mengambil tindakan.

TINDAKAN tegas termasuk pemecatan perlu dilaksanakan terhadap mana-mana kepimpinan tertinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya gagal menyelesaikan masalah lambakan peniaga warga asing di kawasan mereka.

Peguam, Norman Fernandez berkata, hukuman itu wajar dipertimbangkan susulan isu peniaga melibatkan warga asing masih membelenggu penduduk tempatan.

Beliau turut berpandangan, tiada hukuman tegas diambil terhadap golongan tersebut menyebabkan mereka masih tidak serik menjalankan aktiviti perniagaan meskipun sudah beberapa kali diambil tindakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Penjaja warga asing tak serik-serik, tetap berniaga meski dah beberapa kali disita

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela

"Pihak berkuasa tidak tegas, operasi membanteras peniaga warga asing tidak dijalankan secara berterusan dan ibarat hangat-hangat tahi ayam.

"Jika Datuk Bandar atau Ketua PBT tidak ambil peduli, pegawai penguat kuasa pun tak kisah sangat.

"Mungkin jika mereka dipecat, dipindah jabatan atau diturunkan pangkat, barulah yang lain akan mula buat kerja," katanya kepada Majoriti.

DBKL PUTTING  UP  THE JALUR GEMBILANG ON THE UPPER LEVEL OF IT BUILDING, TO CELEBRATE THE 51ST MERDEKA.

Pihak berkuasa dikatakan tidak tegas dalam membenteras peniaga warga asing di Malaysia. — Gambar hiasan

Jelas Norman, peniaga warga asing juga tidak serik berniaga kerana kerajaan dan pihak berkuasa didakwa menyediakan ruang yang cukup bagi memudahkan warga asing mereka berniaga.

Ujarnya, keadaan itu berisiko membuatkan golongan berkenaan tidak takut akan undang-undang di Malaysia.

"Mustahil pihak berkuasa tempatan tidak tahu tapak dan lubuk peniaga warga asing.

"Lebih parah, ada yang tapak mereka sudah menjadi 'semi-permanent'.

"Selain itu, ramai juga peniaga warga asing yang sudah maju hingga mampu menaik taraf perniagaan menggunakan kenderaan dan trak makanan," jelasnya.

1

Seolah-olah tidak serik, mereka masih berani menjaja secara haram meskipun tapak niaga pernah disita sebelum ini.

Mengulas lanjut, Norman berkata, ketika ini sudah banyak kawasan 'no go area', yang menjadi lokasi warga asing bermaharajalela dan berniaga sesuka hati mereka.

Malah, golongan tersebut berani berbuat demikian kerana beranggapan mereka tidak akan mengalami kerugian yang besar meskipun penguat kuasa mengambil tindakan.

"Lagipun mereka tahu, jika ada operasi, kerugian hanyalah barang berniaga yang dirampas dan disita.

"Tidak ada apa-apa tindakan menangkap mahupun mendakwa. Jadi, dalam sehari dua mereka boleh kembali berniaga atau menjaja.

"Ini yang menjadikan mereka berani berniaga tanpa memerlukan lesen atau mengikut undang-undang dan peraturan," ujarnya.

Norman Fernandez

Justeru tegasnya, peniaga warga asing seharusnya ditangkap bersama barang niaga dan boleh didakwa atas pelbagai kesalahan.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mengenakan denda yang tinggi dan hukuman berat termasuk sebatan dan perintah pengusiran.

Langkah itu tidak mustahil akan mengakibatkan peniaga warga asing berfikir beberapa kali terlebih dahulu sebelum berniaga.

"Di Singapura ada lebih-kurang 1.4 pekerja warga asing, namun tidak menghadapi masalah (melibatkan) warga asing buka tapak dan berniaga.

"Mereka tahu kesan dan akibat perbuatan itu, malah pihak berkuasa di sana langsung tidak bertoleransi atau tutup mata tentang isu ini," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram