Kemalangan babit bas persiaran makin serius, Tourism Malaysia kena tegur sebelum industri pelancongan terjejas


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Enam penumpang termasuk pemandu cedera selepas bas ekspres yang dinaiki terbabas dan jatuh ke gaung sedalam 50 meter di Batu 9, Jalan Silam pada Khamis. — Bomba

INDUSTRI pelancongan di Malaysia menghadapi cabaran serius apabila beberapa insiden kemalangan bas persiaran baru-baru ini menimbulkan kebimbangan melibatkan keselamatan pengangkutan awam.

Dalam tempoh beberapa bulan lepas, terdapat beberapa kemalangan melibatkan bas persiaran yang kecederaan serius sehingga ada yang menyebabkan kematian.

Pada awal Jun lalu, empat penumpang maut manakala 35 lagi cedera parah selepas sebuah bas persiaran yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau, Pahang.

BACA LAGI: [VIDEO] Empat maut, bas bawa rombongan cikgu jatuh cerun berlanggar treler di Bahau

BACA LAGI: [VIDEO] Nyaris kemalangan lepas potong 'double lane', pemandu bas E-Mutiara digantung kerja

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik dan jatuh di cerun jalan.

Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu bagi menghadiri program penanda aras.

Pada Khamis, satu lagi kemalangan melibatkan bas persiaran berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Dalam kemalangan itu, enam penumpang termasuk pemandu cedera selepas bas ekspres yang dinaiki terbabas dan jatuh ke gaung sedalam 50 meter di Batu 9, Jalan Silam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kemalangan itu berlaku ekoran daripada bas tersebut hilang kawalan dan terjatuh ke gaung sedalam 50 meter.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, seramai 13 penumpang termasuk dua pelancong asing telah keluar sendiri dari bas berkenaan,” katanya.

Melihat kepada insiden tersebut, pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri meminta agar pihak yang terbabit memandang serius insiden kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam itu.

"Kita kena pantau insiden seperti ini, kalau tidak industri pelancongan pula ranap.

"Tourism Malaysia kena tegur supaya jangan dah terlambat. Nanti negara terkenal sebab bas bahaya.

"Harap mangsa segera sembuh," katanya melalui satu ciapan di laman X (Twitter) miliknya pada Jumaat.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna maya, AdmarMac turut bersetuju dengan pendapat Hezeri.

Namun, katanya kemalangan di Sabah itu juga berpunca dari infrastruktur jalan yang teruk.

"Keadaan jalan di Sabah pun teruk dan Kerajaan Persekutuan langsung tak memberi perhatian berkaitan infrastruktur di Sabah.

"Pada masa sama, undang-undang berkaitan pengangkutan kita pun dah makin lapuk," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram