KEINDAHAN Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan terunggul di negara ini dicemari sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk yang seolah-olah menjadikan bawah Jambatan Klebang sebagai tempat pembuangan sampah.
Lebih menjijikkan lagi, Jambatan Klebang, yang sepatutnya boleh menjadi salah satu tarikan indah di Negeri Hang Tuah itu kini penuh dengan sampah sarap yang dibuang secara haram oleh penduduk setempat.
Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan pemandangan tetapi juga menimbulkan masalah kebersihan dan kesihatan awam.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut putus kaki di lebuh raya 'belum siap' di Kok Lanas
Kesal dengan tindakan pembuangan sampah yang semakin tidak terkawal itu, laman Facebook MelakaExplorer bertindak memuat naik beberapa gambar menunjukkan situasi terkini kawasan tersebut yang dipenuhi sampah.
Menurut pentadbir laman Facebook berkenaan, longgokan sampah itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus dan haiwan liar.
Melalui gambar yang dimuat naik itu, jelas menunjukkan kawasan itu dipenuhi sampah dan tidak dibersihkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam tindakan segelintir individu yang membuang sampah di kawasan tersebut.
Apatah lagi selepas selebriti antarabangsa China, Fan Bingbing secara rasmi dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka (Melaka Friendship Ambassador Tourism) untuk tempoh penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Seorang pengguna media sosial, Imran Zainal mempertikaikan tindakan pihak berkuasa (PBT) yang hanya membersihkan kawasan tertentu sahaja.
"Mana PBT Melaka? Tak akan bersihkan kawasan tumpuan pelancong di bandar sahaja? Kalau ikutkan kawasan ini dahulu pun bersih.
"Bukan tuding jari tetapi ini tanggungjawab bersama, nak tunggu Fan Bingbing datang baru nak bersihkan ke?" soalnya.
Seorang lagi warga maya, Ikan Puyu pula meninggalkan komen sinis melihat gambar-gambar tular tersebut.
"Mereka (kerajaan Melaka) sibuk dengan Fan Bingbing sampai lupa nak bersihkan. Melaka ini asal ada duta cantik dah cukup," tulisnya.
Sementara itu, Tuah Iskandar pula berpendapat longgokan sampah di kawasan tersebut berpunca daripada sikap pengunjung dan penduduk di sekitar kawasan Jambatan Klebang.
"Jangan hanya nak salahkan pihak berkuasa, pengunjung dan penduduk sekitar pun harus bertanggungjawab. Jangan sampai Fan Bingbing 'bimbing' rakyat cara buang sampah baru Melaka nak bersih," katanya.
Untuk makluman, Jambatan Klebang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan untuk melakukan aktiviti memancing ikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram