Keputusan permohonan IPTA, ILKA diketahui 28 Jun ini — KPT


  • Primer
  • Khamis, 20 Jun 2024

Keputusan boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 Julai 2024 sebelum pukul 5 petang menerusi platform dalam talian yang disediakan. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN permohonan pengajian ke Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi serta diploma Sesi Akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diketahui pada 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 Julai 2024 sebelum pukul 5 petang menerusi platform dalam talian yang disediakan.

"Keputusan boleh disemak melalui pautan https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my, https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi UPUPocket.

BACA LAGI : Isu 'Recheck SPM': Kurang kadar bayaran RM100, tambah baik sistem semakan sedia ada — Pakar

BACA LAGI : 'Cuai semak kertas peperiksaan, bayaran RM100 'recheck' SPM membebankan dan wajar dipulangkan'

"Pengesahan setuju terima tawaran bermula 29 Jun hingga 7 Julai 2024 di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, menurut KPT, bagi pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil dibenarkan untuk mengemuka permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan politeknik.

"Permohonan boleh dilakukan di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 28 Jun pada 12 tengah hari sehingga 7 Julai sebelum pukul 5 petang.

"Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

"Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad serta sebarang permohonan pertukaran program pengajian termasuk IPTA atau ILKA tidak dibenarkan," katanya.

Untuk makluman, dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram