'Patah tumbuh yang 'lompat' berganti, serah kembali mandat kepada rakyat melalui lunas demokrasi'


  • Politik
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Status enam ahli Parlimen BERSATU masih menjadi tanda tanya selepas mereka diumumkan terhenti keahlian daripada parti itu pada Jun.

STATUS enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih menjadi tanda tanya selepas mereka diumumkan terhenti keahlian daripada parti itu pada Jun.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memutuskan mengenai status kerusi keenam-enam ahli Parlimen berkenaan.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

"Soal enam kerusi (ahli Parlimen) BERSATU itu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat. Biar Speaker putuskan,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini juga, Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengulas isu status enam Ahli Parlimen Bersatu yang gugur keahlian parti mereka.

Beliau mencadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak boleh mempersoalkan tafsiran parti dan tindakan parti itu dan apa yang perlu dilakukan ialah mengikut 49A memastikan kekosongan luar jangka sahaja.

"Dengan rasa hormat kepada Speaker (Johari), cadangan saya ialah sememangnya beliau tidak boleh mempersoalkan tafsiran parti dan tindakan parti itu dan apa yang perlu dilakukan ialah mengikut 49A memastikan kekosongan luar jangka sahaja," katanya.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaking during the press conference at Prime Minister’s Office in Putrajaya yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Anwar menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memutuskan mengenai status kerusi keenam-enam ahli Parlimen berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam Podcast Program Bersama WSWJ yang dihoskan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan di laman Youtube, pada Ahad.

Tindakan enam ahli Parlimen itu bukan sahaja menjadi bualan hangat dalam penganalisis politik bahkan menjadi 'modal' sebagai topik utama dalam kalangan pengundi masing-masing dalam media sosial.

Hasil tinjauan di laman media sosial, rata-rata warga maya mempunyai pendapat mereka sendiri berhubung situasi politik tersebut.

Seorang pengguna media sosial, Roslan SMS berkata turut tampil mengulas cadangan Tan Sri Azhar Azizan Harun berdasarkan peruntukan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan serta peraturan lain yang sedia ada.

"Speaker (Johari) perlu maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPR bertanggungjawab memanggil Pilihan Raya Kecil (PRK) mengikut tempoh ditetapkan.

"Biar nampak licin dan cantik perkara ini kerana peruntukkan ini pun dulu setelah dibahaskan telah sama-sama diluluskan oleh MP Kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.

"Dewan Rakyat adalah dewan keramat yang mengangkat suara rakyat," katanya.

Tambah Roslan lagi, semua pihak perlu memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan jangan pula ada yang menjadi perkakas mencabulnya sehingga membangkitkan keresahan dan kemarahan rakyat.

"Serah kembali mandat pada rakyat untuk memutus wakil mereka yang baru melalui lunas demokrasi. Yang patah tumbuh yang hilang (lompat) berganti.

"Ini bukan soal siapa kuat atau siapa takut ini isu Perlembagaan. Kita didik anak-anak kita agar patuh dan hormat Perlembagaan, justeru ikutlah ketetapannya dan biar rakyat yang kembali memutuskan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram